suria

Isteri Mangsa Sering Pinjam Wang, Barang-Barang - Jiran

Pada Isnin, mayat Cheah Soon Hing (kiri) dan dua anaknya dijumpai di rumah sewa mereka di Apartment Nova, Taman Sri Sinar, Segambut.
KUALA LUMPUR: Sebuah keluarga bermasalah dengan seorang bapa bersikap 'kepala angin', demikian menurut penduduk di sebuah apartmen di Segambut, tempat berlakunya kes bunuh tiga anak-beranak, Isnin.

Penduduk di situ berkata keluarga berkenaan nampak seperti sebuah keluarga bahagia apabila mereka sering menghabiskan masa bersama di taman permainan dan kolam renang, tetapi berlaku juga situasi di mana jiran-jiran mendengar Cheah Soon Hing membaling kerusi di rumahnya.

Penduduk yang pernah melihat penganggur berusia 34 tahun itu menyifatkan dirinya sebagai seorang yang ganas dan sangat garang.

Isterinya, 35, pula dikenali jiran-jiran sebagai seorang yang sering meminta wang dan barang-barang seperti paracetamol, telur dan minyak urut.

Loh Ah Juin, 70, yang tinggal di blok hadapan, telah mendengar kekecohan dari unit yang disewa Soon Hing pada pagi Sabtu.

"Kami tidak dapat mendengar apa yang mereka katakan tetapi yang pasti pasangan suami dan isteri itu telah bertengkar. Ketika itu saya bersama jiran-jiran lain, betul-betul di depan unit lelaki itu tinggal di tingkat dua.

"Ia berlarutan agak lama tetapi kami tak sangka akan berlaku apa-apa. Kami terkejut apabila mengetahui dia telah mati bersama dua anaknya," katanya dalam bahasa Kantonis, sambil menambah beliau juga pernah memberikan wang RM80 kepada isteri mangsa.

Ah Juin berkata, wanita itu memberitahu jiran-jiran bahawa wang itu diperlukan untuk membeli makanan dan susu tepung anak-anaknya.

"Saya tahu saya tak akan dapat semula wang itu. Kedua-dua mereka tidak bekerja. Saya tak mahu anak-anaknya kelaparan," katanya.

Seorang wanita yang tinggal di blok yang sama dengan keluarga itu berkata tragedi itu adalah sesuatu yang menunggu masa untuk berlaku.

"Dia meminjam wang daripada suami saya dan ia tidak mengejutkan kerana kedua-dua mereka tak bekerja.

"Anak mereka kurus kering dan sebagai seorang ibu, ini adalah satu perkara yang sangat menyedihkan," kata seorang jiran yang enggan namanya disiarkan.

Beliau berkata penduduk di pangsapuri itu mengesyaki Soon Hing adalah seorang penagih dadah dan akan cuba mengelakkan diri daripadanya yang bersikap ganas.

Beliau juga telah mendengar Soon Hing membaling kerusi ke arah ahli keluarganya di dalam rumah.

Seorang guru, K. Mages, 48, berkata, keluarga itu tidak bercampur dengan jiran sekeliling.

"Hanya sekali si ibu datang untuk minta ubat. Selain daripada itu, kami tak pernah bercakap.

"Saya selalu nampak mereka di taman permainan tetapi hanya bersama dua anak lelaki yang lebih tua. Kami hanya tahu mereka ada dua orang anak lagi apabila polis datang pada Isnin.

"Saya pernah nampak dia hamil tetapi tidak pernah melihat dua anak kecilnya," katanya.

Seorang lagi penduduk, Carrie Paang, berkata kali terakhir beliau bertemu isteri mangsa adalah pada bulan Jun lalu apabila wanita itu mahu meminjam wang RM20.

"Keluarga itu kelihatan benar-benar menyedihkan dan anak-anaknya sangat kurus," katanya.

Dua tukang cuci di apartmen itu mendakwa pasangan berkenaan sebagai 'kaki botol'.

"Selain itu, mereka nampak normal dan akan bermain dengan anak-anak mereka di taman permainan.

"Mereka tidak pernah bercakap atau memberikan senyuman kepada penduduk di sini," kata salah seorang daripada mereka.

Artikel Lain