JEPUN, turut dikenali sebagai negara matahari terbit tidak jemu dikunjungi biarpun sudah bertandang ke negara yang menitikberatkan kebersihan dan kesopanan itu beberapa kali. Kunjungan saya pada 5 Ogos hingga 15 Ogos baru-baru ini membuka peluang menjelajah ke Shoryudo (Jepun Tengah) yang merangkumi wilayah Nagano, Gifu, Toyama dan Ishikawa. Kembara ke bumi Nippon bermula pada jam 10.50 malam menerusi pesawat Singapore Airlines. Transit di Singapura seketika dan berlepas ke Jepun pada jam 1.20 pagi tanggal 6 Ogos. Pesawat mendarat di Lapangan Terbang Chubu pada jam 9.05 pagi waktu tempatan. Setelah melepasi imigresen dan kastam, saya berjalan menuju ke balai ketibaan dan sejurus keluar, terlihat nama saya tertera di atas kadbod lalu saya menuju mendapatkan wanita yang memegang kadbod berkenaan. Dia adalah Satoko Ito, wakil Meitetsu World Travel yang banyak berurusan dengan saya menerusi emel berhubung Perjalanan Pengenalan atau Familiarization Trip ke Shoryudo. Beliau memperkenalkan saya dengan penterjemah dan tour guide, Makiko Kunazawa. Lazimnya, fam trip disertai ramai kakitangan agensi pelancongan tetapi kunjung ke Jepun Tengah berbeza kerana hanya saya dan wakil dari Indonesia, Michelle Claudine menyertainya. Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh Pengarah TM Tours, Naaimah Abdullah bahawa saya satu-satunya wakil dari Malaysia. Di terminal lapangan terbang, saya dan Michelle, dibawa ke meninaju Pusat Khidmat & Informasi Pelancongan Jepun Tengah, bilik solat dan tempat wuduk selain kedai-kedai di sekitarnya. Kami kemudiannya menikmati hidangan tengah hari di Restoran Hai Shang Lou yang menyediakan menu halal daripada produk Brahim. Tiga menu halal disediakan iaitu set nasi dan daging rendang, set nasi, kentang dan kari ayam serta set ketiga ialah nasi, ayam masak tomato berserta sayur-sayuran. Kenyang menikmati hidangan dan mencuci mata di sekitar bazar di dalam lapangan terbang, kami menaiki tren Meitetsu ke stesen Nagoya dan singgah sebentar di pusat beli-belah Meitetsu. Tidak mampu berbelanja dan hanya mencuci mata kerana kadar mata wang Jepun yang tinggi walaupun barangannya sungguh memikat hati. Satoko dan Makiko menunggu kami di Starbuck. Menghilangkan kehausan, saya dan Michelle membasahkan tekak dan berehat seketika di situ. Seterusnya kami menaiki tren Shinano untuk ke Matsumoto. Perjalanan hanya mengambil masa 25 minit untuk tiba di stesen Matsumoto. Sejurus tiba, kami menaiki teksi untuk menuju hotel penginapan. Disebabkan banyak jalan tutup kerana festival Bon-Bon, teksi terpaksa berhenti agak jauh. Makiko terasa tidak enak kerana kami terpaksa membawa bagasi besar ke hotel. Namun, tidak sampai lima minit berjalan, kakitangan hotel menghulurkan bantuan. Banyak yang indah dan sesuai dikunjungi seperti Matsumoto Art Museum dan Matsumoto Castle. Pengalaman membuat soba di Takagi Restaurant menarik perhatian apatah lagi sejurus memasuki restoran itu, pemiliknya mengatakan restoran itu turut menyediakan ruang solat. Malah, sejurus melihat saya, dia bertanya adakah saya mahu solat. Saya katakan belum masuk waktu Zuhur. Selesai membuat soba dan menikmatinya, saya bersolat Zuhur dan Asar di restoran berkenaan. Selesai makan tengah hari, kami ke Kamikochi, kawasan pergunungan yang menjanjikan pemandangan serba hijau yang mendamaikan. Sungai yangmengalir sederhana deras mencuri perhatian. Persekitaran bersih dan nyaman menyejukkan pandangan. Kunjungan ke Jepun pada kali ini penuh dengan peluang dan pengalaman baru sehingga teruja saya dan Michelle. Di Takayama, kesempatan memakai kimono tidak dilepaskan. Di kedai Tanaka Gofukuten, kimono berasas kain kapas digayakan dan lebih memeranjatkan apabila kami diminta berjalan di sekitar Old Street dan berkunjung ke restoran serta kedai Mesra Muslim. Saya terasa segan apabila televisyen NHK merakamkan aktiviti kami sejak dari menikmati makan tengah hari di Okuhida Garden Hotel yang menyediakan menu halal sehingga berjalan di sekitar Old Street. Aktiviti kami itu turut mendapat liputan wartawan akhbar harian negara itu. Di Takayama, anda tidak perlu risau untuk berbelanja dan makan kerana banyak kedai Mesra Muslim boleh ditemui seperti di Takayama Jinya, Takayama Yataikaikan dan Kusakabe Mingeikan. Malah ruang solat juga disediakan untuk memastikan keselesaan pengunjung Muslim. Selepas makan tengah hari di kafe Ekimae Ken, wakil Muslim Friendly Project, Daichi Shimizu,meminta izin merakamkan gambar saya sedang bersolat di kafe berkenaan. Jika hendak membeli manisan dan kekacang, anda boleh temui di Otowaya dan Bunrindou. Jauh berjalan luas pemandangan. Kunjungan ke Jepun Tengah semakin mengujakan apabila tiba di Shirakawao-go, yang mengambil masa kira-kira 45 minit berkenderaan dari Hida Plaza Hotel di Takayama. Hati saya tertarik dengan keindahan dan kedamaian di Shirakawo-go. Sekali pandang sudah jatuh cinta dengan persekitarannya. Sungguh mengasyikkan, apatah lagi jika berpeluang ke situ pada musim bunga atau musim dingin. Sebuah perkampungan yang menempatkan 114 rumah petani. Reka bentuk unik atau dikenali sebagai rumah gasho ini menjanjikan kedamaian kepada setiap pengunjung yang berpeluang menjejakkan kaki ke situ. Keindahan jelas memukau pandangan pada setiap musim dan difahamkan lebih indah ketika musim bunga dan dingin. Di Shirakawo-go saya dan Michelle berpeluang melalui pengalaman membuat mochi, manisan tradisional Jepun dan menikmati aiskrim tempatan. Kami juga berkesempatan melalui pengalaman membuat washi atau Japanase paper di Gokayama Washinosato. Sekali lagi saya dan Michelle melalui pengalaman penuh mengujakan apabila disuruh menenun di Johana Oriyakata di Nanto. Sukar dilupakan kerana hakikatnya saya tidak suka menjahit tetapi apabila tiba-tiba disuruh menenun, saya tidak menolak. Berpeluh juga menenun hampir 45 minit untuk menyiapkan hiasan dinding. Perjalanan diteruskan ke Kanazawa menerusi coaster yang mengambil masa hampir satu jam dari Nanto. Sekali lagi pengalaman baru ditimba apabila kami diajar minum teh sepertimana masyarakat Jepun di istana Samurai di Bukeyashiki. Jika di Takayama kami mengenakan kimono berasas kain kapas tetapi di Kanazawa sekali lagi kami berpeluang mengenakan kimono tetapi kali ini kimono sutera. Kimono yang saya kenakan berharga lebih RM40,000 sehelai. Cantik detik hati saya melihat hampir kesemua kimono suterai di Nagamachi Yuzen Kan namun tidak mampu dimiliki. Kanazawa menjanjikan pelbagai lokasi pelancongan menarik seperti Kanazawa Castle, Kenrokuen Garden, Suzuki Museum, 21 st Century Museum of Contemporary Art Kanazawadan Kanazawa Crafts Hirosaka. Namun cuaca panas sehingga mencecah 37 darjah Celcius pada hari itu menyebabkan kami kurang selesa. Menurut Makiko, destinasi pelancongan itu sering menjadi perhatian ramai pengunjung tempatan pada musim luruh, terutama di Kenrokuen Garden. Hari terakhir di Kanazawa kami meninjau pasar ikan di Betsuin Dori Street sebelum melalui pengalaman melukis kraftangan tradisional Jepun dikenali sebagai dama di Nakashima Menya. Selepas melukis, kami berkunjung pula ke Masjid Umar al-Khattab di pinggir bandar Kanazawa. Di masjid dua tingkat dan mampu menampung sejumlah 200 jemaah itu saya bertemu dengan Muhamad Matsui Seiji dan isteri Hikmah Ali Balbeid. Muhamad memeluk Islam sebelum berkahwin dengan Hikmah 16 tahun lalu. Mereka bertemu di Surabaya, Indonesia ketika Muhamad bertindak sebagai sukarelawan mengajar Bahasa Jepun di sana. Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Aliyah, 13; Karima, 11 dan Yusuf, 9. Muhamad dan Hikmah tinggal tidak jauh dari Masjidl Umar al-Khattab, yang sering menjadi tumpuan pelajar dari Indonesia dan Pakistan. Sebelum pulang ke hotel penginapan, kami melalui pengalaman menekap emas pada chopstick di Hakuza Hikarizo. Hasil diperolehi mengagumkan. Pada malam itu, kami menikmati hidangan di sebuah restoran Pakistan, Azaan. Menaiki keretapi laju, Shinkansen antara hasrat saya apabila berkunjung ke Jepun kerana dua kali ke sana, tidak berpeluang tetapi ketika ke Jepun Tengah, perjalanan dari Kanazawa ke Tokyo, yang mengambil masa dua setengah jam merealisasikan hasrat saya menaiki tren laju itu. Jepun sesuai dikunjungi kerana usaha masyarakat di sana melasksanakan Muslim Friendly Project sejak dua tahun lalu menyebabkan semakin banyak kedai dan restoran peka serta prihatin dengan keperluan umat Islam.