KUALA LUMPUR: Legoland Malaysia Resort dan Lego Malaysia pada Rabu bekerjasama dengan sekumpulan rakyat Malaysia prihatin menyampaikan hadiah Lego kepada pesakit kanser Muhammad Danish Maarif, 11, di kediamannya di Kuala Selangor. Pengurus Besar Interim Legoland Malaysia Resort Young Pil Kim berkata Muhammad Danish sukakan Lego dan satu daripada impian terbesarnya adalah ingin melawat Legoland Malaysia Resort. Bagaimanapun, doktor menyatakan keadaan beliau tidak mengizinkan untuk sebarang perjalanan selepas kanser merebak ke seluruh badannya dan beliau dibawa pulang ke rumah untuk berehat. "Walaupun tidak dapat membawa beliau ke Legoland Malaysia Resort, kami berharap dapat membawa Legoland Malaysia Resort kepadanya. Saya sangat berterima kasih kepada mereka yang terlibat membantu Muhammad Danish dan membawa perkara ini kepada pengetahuan orang ramai," katanya dalam kenyataan Rabu. Kisah tentang seorang pesakit kanser berusia 11 tahun mendapat perhatian umum setelah sekumpulan rakyat Malaysia yang diketuai Wan Shahriza Wan Ab Rahman memuat naik kisah itu menerusi akaun Facebook beliau. Muhammad Danish disambut maskot watak popular Lego seperti Lego Darth Vader, Lego Builder, Lego Policeman serta permainan Lego yang disumbangkan oleh Legoland Malaysia Resort. Pasukan itu turut menghias bilik pesakit kanser tersebut dengan barangan bertemakan pengembaraan untuk menjadikannya seperti bilik di Hotel Legoland. - BERNAMA