suria

Operasi Desa Water Park Berakhir Hari Ini

HARI ini (Jumaat) merupakan hari terakhir operasi taman tema air, Desa Water Park.

Taman tema air popular yang terletak di Taman Danau Desa, Jalan Kelang Lama di Kuala Lumpur akan ditutup selepas beroperasi selama 16 tahun.

Tanah itu dijual kepada pembida tertinggi.

Kini timbul persoalan apa yang akan dibina di kawasan itu?

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memiliki tanah seluas 16.99 hektar itu, tanah tersebut akan dibangunkan dengan pembangunan bercampur terdiri daripada banglo mewah, menara bertingkat dan kondominium serta Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip).

Tapak tanah taman tema air itu terletak bersebelahan dengan Desa Tasik.

"DBKL menjual tanah itu kepada pembida tertinggi," kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz.

Pemandangan kawasan sekitar Desa Water Park.

Walaupun Mohd Amin tidak berkongsi maklumat lain berkaitan projek itu, StarMetro difahamkan ia adalah penjualan secara terus dan DBKL tidak lagi mempunyai kaitan dengan tanah tersebut.

"Ia dijual dengan syarat pemaju bersetuju membina rumah mampu milik di tapak tanah itu," kata sumber DBKL.

Difahamkan Berjaya Corp yang mengendalikan Desa Water Park dan menyewakan salah sebuah bangunan itu kepada Restoran Dragon Hut diberi notis untuk mengosongkan premis tersebut pada 30 September ini oleh DBKL.

DBKL memajak tanah itu kepada Berjay Corp.

Ketika dihubungi, seorang kakitangan jabatan komunikasi korporat Berjaya Corp berkata mereka tidak lagi mempunyai kaitan dengan Desa Water Park dan atas sebab itu tidak mahu mengulas lanjut mengenainya.

StarMetro berjaya menghubungi pemilik baharu tanah itu, Aset Kayamas Sdn Bhd yang mengesahkan mereka membeli tanah tersebut dari DBKL baru-baru ini.

"Ya kami membeli tanah itu sejak dua bulan lalu. Pelan di tanah itu masih diperingkat reka bentuk dan rancangan.

"Ia akan menjadi satu pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan sebanyak RM6 bilion hingga RM7 bilion.

"Kami mengambil kira keperluan untuk membina rumah mampu milik serta memanfaatkan kawasan tasik," kata Pengarah Eksekutifnya, Michael Chai.

Desa Water Park, DBKL

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain