PETALING JAYA: Jika tiga tahun lalu jarum menjadi alat menjahit yang digeruninya, kini seorang remaja lelaki berstatus OKU mampu berbangga apabila dinobatkan selaku juara Rekacipta Bunga Telur Daripada Bahan Terbuang dalam Pertandingan Kemahiran Pendidikan Khas Peringkat Negeri Selangor 2016. Memenangi acara bagi kategori Murid Bermasalah Pendengaran, V.Kesavan membuktikan kesabaran dan usaha gigih guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh tidak sia-sia. Malahan, penyertaan sulung pelajar berusia 16 tahun ini membuahkan hasil juga kerana minat dan bakat semulajadinya dalam seni kraftangan. Menurut Penolong Kanan Pendidikan Khas sekolah berkenaan, Mohd Nadzif Jayus, selain dilahirkan tanpa deria pendengaran, Kesavan juga pelajar bermasalah pembelajaran. "Bakat menghasilkan kraftangan dalam diri Kesavan dikesan guru PPKI sejak berusia 14 tahun dan dari situ kami berusaha membantu mengembangkan kebolehannya hingga dapat menjahit baju, selendang, hiasan manik serta seni kraf lain. "Malahan, bunga daripada tisu yang dihasilkannya turut digunakan dalam Pertandingan Solekan Pengantin bertemakan Bollywood di mana SMK Saujana Utama mendapat tempat ketiga," katanya ketika dihubungi mStar Online. Nurul Shawalina (dua dari kiri) dan Nor Adila (dua dari kanan) diapit guru pembimbing PPKI SMK Saujana Utama, Azian Abdul Aziz (kiri) dan Atikah Abd Ghani (kanan). Peringkat akhir Pertandingan Kemahiran Pendidikan Khas Peringkat Negeri Selangor 2016 berlangsung di SMK Taman Ehsan, Kepong pada Khamis. Sebanyak 10 sekolah menyertainya melibatkan pelbagai kategori dan SMK Saujana Utama mewakili daerah Kuala Selangor tersenarai bagi kategori Rekacipta Bunga Telur Daripada Bahan Terbuang dan Solekan Pengantin Bertemakan Bollywood. Kesavan dipilih bertanding ke peringkat negeri berdasarkan hasil kerjatangannya yang dinilai sebelum ini, manakala penyertaan Nurul Shawalina Amani, 15 sebagai jurusolek dan Nor Adila Rahani, 19 selaku model pula berdasarkan pencapaian memenangi pertandingan peringkat daerah Kuala Selangor. Hasil kejayaan itu, semua pelajar menerima plak dan sijil penghargaan. Tambah Mohd Nadzif, kejayaan pelajar berkenaan tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan berterusan Pengetua SMK Saujana Utama, Rasul Maideen Haja Maideen. Sementara itu, guru PPKI, Siti Zawiyah Mohd Ramli berkata, berdasarkan perbincangan semua guru PPKI, idea rekaan Kesavan dihasilkan. Kesavan bersama hasil kerja tangannya yang membuahkan kejayaan selepas berlatih hanya tiga hari. "Sebaik bersetuju memilih bahan terbuang seperti guni bawang berwarna merah, guni kentang, bekas jelly Sumi, daun pisang kering, batang pisang dan tin susu, kami mula membimbing Kesavan sepenuhnya dalam masa tiga hari saja," katanya. Menceritakan lebih lanjut mengenai Kesavan, katanya, bakat pelajar itu dicungkil apabila mendapati kerja seni yang dihasilkannya adalah halus dan memuaskan. "Bukan mudah mengajar pelajar pendidikan khas menjahit kerana kebiasaannya mereka takut pada jarum. Begitu juga Kesavan yang pada awalnya takut pada jarum dan nak masukkan benang pun sukar. "Tetapi guru-guru melatih dia setiap hari untuk menghilangkan rasa takut pada jarum dan akhirnya Kesavan berjaya," katanya sambil menambah, pelajar itu mampu menghasilkan jahitan jelujur yang halus serta mampu mewarna dengan baik.