PETALING JAYA: Sebuah kereta mewah merempuh masuk ke dalam medan selera di Menara Millenium, Damansara. Kejadian pada pukul 10.10 pagi Jumaat itu berlaku apabila pemilik kereta Bentley tersebut tidak sengaja tertekan pedal minyak ketika cuba mengambil semula kad letak kereta yang terjatuh. Pegawai Turus Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Shafie Daud berkata tiada kecederaan dilaporkan kerana premis itu tidak dipenuhi ramai pengunjung pada masa kejadian. Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu terbabit mahu menyentuh kad pada mesin palang tempat letak kereta. Beliau berkata siasatan lanjut dilakukan mengikut Peraturan 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.