suria

Umno Johor Sambut Baik Cadangan Akta Sumbangan Dan Perbelanjaan Politik

Mohamed Khaled Nordin.

JOHOR BARU: Badan Perhubungan Umno Johor menyambut baik cadangan untuk memperkenalkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik bagi memastikan amalan budaya politik yang sihat.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata itu merupakan satu usaha yang terbaik supaya semua parti dapat mengamalkan cara politik yang lebih baik selain dapat mengawal sumbangan yang datang daripada pelbagai pihak.

"Cadangan berkenaan perlu mendapat sokongan semua pihak sekiranya semua parti politik mahu mengamalkan budaya politik yang sihat.

"Daripada sudut pelaksanaan, saya menerima dengan terbuka... dan berharap kesemua pihak yang terlibat dapat menerimanya," katanya.

Menteri Besar Johor itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Wajadiri Silat Cekak Pusaka Hanafi Peringkat Antarabangsa 2016 di Galleria Kotaraya, di sini Sabtu.

Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) semalam menggariskan 32 perkara termasuk memperkenalkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk meningkatkan integriti dan pembiayaan politik.

Pengerusinya Datuk Paul Low Seng Kuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata cadangan tersebut akan dibawa ke Kabinet dalam tempoh dua minggu lagi sebelum dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, berkata Umno menerima cadangan JKNMPP.

Beliau berkata semua parti politik termasuk pembangkang perlu menyokong akta tersebut jika ia hendak dilaksanakan di negara ini.

Tambah Najib, ia bukan perkara baharu, malah pernah diutarakan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya umum ke-13 dalam mewujudkan kaedah sumbangan politik yang lebih telus di negara ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Warga Emas Positif Zika

Artikel Lain