KUALA LUMPUR: Awal Muharram 1438H menjadi detik penghijrahan kehidupan buat 10 pasangan mempelai setelah dinikahkan secara beramai-ramai di Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, di sini, Ahad. Mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 28 tahun itu diijab kabul oleh lima jurunikah pada program 'Sambutan Maal Hijrah dan Pernikahan Perdana' di masjid berkenaan. Acara yang dimulai dengan ceramah perdana oleh penceramah bebas, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood dan Wan Akashah Wan Abdul Hamid itu menarik kehadiran hampir 1,000 tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan pengantin. Pasangan termuda Erit Emeer Zaini, 22, berkata beliau dan isterinya Nur Kaisah Hatpari Harun, 20, teruja dapat melangsungkan perkahwinan secara beramai-ramai sempena kedatangan tahun baharu Islam itu. "Bagi saya, tarikh 1 Muharram ini amat bermakna buat kami yang baru memulakan kehidupan sebagai suami isteri, kosnya juga tidak terlalu membebankan buat kami yang baru mula bekerja," kata anak bongsu daripada dua beradik itu. Menurut pasangan Muhammad Farris Saad dan Norfarahanie Azhar, kedua-duanya berusia 25 tahun, peluang yang diberi itu memberi kelegaan kepada mereka kerana hanya perlu membelanjakan RM1,000 untuk majlis perkahwinan tersebut. "Pada awalnya kami merancang untuk melangsungkan pernikahan hujung tahun ini, namun kami diberi peluang untuk mempercepatkan ikatan ini dalam suasana yang berbeza," kata Muhammad Farris. Sementara itu, nazir Masjid Al-Khairiyah, Mohd Rozi Salleh berkata pihaknya menganjurkan program itu bagi membantu pasangan muda melangsungkan perkahwinan tanpa berbelanja besar dan pada masa sama ia dilihat dapat mengurangkan masalah sosial. "Program ini yang keenam kami buat dan ia maklum balas positif daripada masyarakat setempat terutama dalam kalangan kariah Taman Seri Gombak," katanya kepada pemberita. Beliau berkata 44 pasangan pengantin diijabkabulkan pada majlis serupa anjuran masjid itu sejak 2012.