KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), di sini, Sabtu dilaporkan semakin baik. Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata Abdul Hadi perlu mendapatkan rehat secukupnya sebelum dibenarkan keluar. "Tuan Guru semakin baik dan sedang mendapat rehat secukupnya di IJN," katanya kepada Bernama di sini, Ahad. Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Anggota Parlimen Marang itu, Zaihan Mohd Daud berkata Abdul Hadi dimasukkan ke IJN berikutan rawatan susulan biasa yang dijadualkan sebelum ini tertangguh disebabkan jadual tugasnya yang padat. "Beliau sedang berehat di IJN dan mendapatkan rawatan rutin di sana (IJN) kerana dua kali temu janji tertunda...dalam masa yang sama beliau keletihan akibat jadual program yang padat," katanya. Semalam, Bernama melaporkan Abdul Hadi dikatakan tidak sihat dan terpaksa mengehadkan masanya menghadiri program yang telah dijadualkan. Abdul Hadi yang biasanya menyampaikan kuliah mingguannya setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang hanya memberi ceramah kira-kira satu jam berbanding kebiasaannya selama dua jam. - BERNAMA