SHAH ALAM: Kegembiraan seorang graduan Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam untuk menerima diploma pada majlis konvokesyen politekniknya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pagi Ahad. Nurul Azmina Alias, 21, beralamat di Flat Sri Melaka, Cheras sedang memandu Proton Perdana V6 dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu. Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Nor Azmi Isa berkata kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas. "Kereta mangsa terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter," katanya ketika dihubungi. Beliau berkata orang ramai yang melihat kejadian itu membantu mengeluarkan mayat mangsa dari keretanya sebelum dihantar ke hospital berdekatan. Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas, katanya. - BERNAMA