PORT DICKSON: Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di pantai Port Dickson bagi memantau keselamatan di persisiran pantai itu. Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata inisiatif itu yang merupakan saranan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan dilaksanakan selewat-lewatnya pertengahan Oktober ini dan kini masih dalam peringkat perbincangan akhir. "Unit Berkuda ini akan melakukan rondaan meliputi lapan kilometer iaitu di Pantai Batu Empat sehingga Pantai Teluk Kemang," katanya pada majlis Go Green anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seremban 3 di sini Ahad. Jaafar berkata pada peringkat awal, sebanyak lapan Unit Berkuda PDRM akan melakukan rondaan pada hari Sabtu dan Ahad dengan kekerapan dua kali sebulan. "Ini juga merupakan inisiatif serampang dua mata yang mana ia boleh jadi sebagai daya penarik dan memperkenalkan Unit Berkuda kepada masyarakat Port Dickson. "Selain itu, ia juga untuk mencegah jenayah serta tangani insiden yang sejak akhir-akhir ini banyak berlaku kecederaan kepada pengunjung termasuk operator yang menguasahakan sukan air," katanya. Beliau turut berharap dengan rondaan yang dijalankan Unit Berkuda PDRM kelak, akan dapat mengurangkan sebarang kemalangan yang tidak sepatutnya berlaku, melibatkan pengunjung dan pengusaha sukan air di Pantai Port Dickson. Mengenai program Go Green, ia merupakan program yang buat julung kalinya diadakan anjuran UiTM cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban Tiga, dengan kerjasama PDRM dan TSR Ocean Park. Menurut Penolong Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban Tiga, Prof Madya Mohammad Nor Othman, pada program itu, seramai 120 pelajar UiTM dan 80 anggota PDRM terlibat dalam aktiviti menanam 200 pokok ru di sepanjang pantai berhampiran PD Waterfront. "Semalam para pelajar ini telah menyediakan tempat dan lubang, jadi pagi ini kita tanam pokok ru yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan," katanya. Katanya melalui aktiviti seperti itu, ia sekaligus dapat mendidik pelajar untuk menghargai alam sekitar. - BERNAMA