suria

Pasangan Suami Isteri Positif Zika Dalam Keadaan Baik

JOHOR BARU: Pasangan suami isteri yang dijangkiti virus Zika menjalani kehidupan seperti biasa, selepas dibenarkan keluar wad, dua minggu lalu.

Pensyarah kolej swasta yang juga wanita hamil pertama di Malaysia dijangkiti wabak berkenaan sudah mula mengajar dan melakukan rutin harian seperti dahulu.

“Saya dan kandungan sihat. Doktor mengesahkan saya bebas daripada virus tersebut.

“Walaupun tidak perlu lagi menghadiri pemeriksaan susulan bagi virus Zika, tetapi saya perlu menjalani pemeriksaan bagi kandungan,” jelas dia kepada The Star ketika ditemui di rumahnya, Taman Desa Harmoni, baru-baru ini.

Wanita itu menjelaskan bahawa dia tidak mengetahui punca sehingga dijangkiti virus tersebut.

Selepas mengalami demam dan ruam pada badannya bulan lepas, dia terus mendapatkan rawatan di hospital, manakala, suaminya yang bekerja sebagai chef di Singapura juga ditahan selepas disahkan positif jangkitan Zika.

Dipercayai isterinya mendapat virus itu daripada suaminya.

Jabatan Kesihatan Johor mengesahkan bahawa tiada kes Zika yang baharu sejak 28 September.

Pada Jumaat, Kementerian Kesihatan melaporkan wanita dari Sabah disyaki positif Zika merupakan kes ketujuh di negara ini, termasuk kes suami isteri dari Johor ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit wanita berumur 60 tahun itu, mengalami ruam dan terus diberikan rawatan di hospital swasta Kota Kinabalu pada 25 September.

Namun, siasatan mendapati pesakit tidak mengunjungi negara yang dijangkiti virus Zika kebelakangan ini.

Tambahnya, suami dan anak pesakit itu juga tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda penyakit Zika.


 

Zika, Taman Desa Harmoni

Artikel Sebelum

Kim Kardashian Dirompak

Artikel Berikut

Artikel Lain