suria

Indahnya Santuari Kucing Di Tepi Pantai

GEORGE TOWN: Bahagian utara-barat pulau ini dikenali sebagai 'Pantai Kucing' kerana terdapat lebih daripada 120 ekor kucing berkeliaran bebas di kawasan berhampiran pantai Teluk Bahang.

Dikendalikan oleh pencinta haiwan - Teviot Fairservis, seorang warga Amerika dari Connecticut, santuari kucing itu telah beroperasi selama hampir dua tahun.

"Pantai Kucing ini telah ditubuhkan pada akhir tahun 2014, beberapa tahun selepas saya berpindah ke Pulau Pinang dari Langkawi bersama lapan ekor kucing saya," katanya.

Fairservis, 61, yang lebih suka dipanggil TV berkata, matlamatnya adalah untuk menyediakan rumah kucing tetapi ia bukan mudah kerana lebih banyak kucing datang ke Pantai Kucing dari masa ke masa.



Kiraan terkini ialah sebanyak 126 ekor kucing telah direkodkan.

"Saya memerlukan sekurang-kurangnya RM125 setiap hari untuk memberi makan kepada mereka dan kira-kira RM20,000 setiap tahun untuk rawatan doktor haiwan dan kecemasan. Sebagai tempat perlindungan yang bukan berasakan kepada keuntungan, saya bergantung kepada sumbangan dan ada kalanya terpaksa menggunakan wang saya sendiri.

"Saya telah membuat satu laman web pembiayaan orang ramai (gofundme.com/catloversintl) bagi membantu mengumpul wang untuk kucing-kucing ini. Saya juga bergantung kepada sukarelawan untuk membantu saya di sekitar tempat ini.

"Menggunakan laman sukarelawan seperti 'HelpX dan Workaway', saya telah didatangi oleh sukarelawan dari seluruh dunia seperti Pakistan dan Turki," katanya.

Fairservis berkata sebelum datang ke Malaysia, dia mengajar Bahasa Inggeris di China, Thailand dan Laos selama kira-kira satu dekad.

"Saya adalah seorang pencinta haiwan. Apabila saya berumur kira-kira 10 tahun, kucing saya melahirkan seekor anak kucing di atas katil saya dan itu menjadi detik indah bagi saya.

"Bagi saya haiwan adalah guru kerana mereka mengajar saya tentang kebaikan dan kebahagiaan," katanya, sambil menambah bahawa kucing-kucing berkenaan bebas berkeliaran dan mereka hanya akan dikurung di dalam sangkar jika sakit.

Pada 13 Disember depan, Pantai Kucing akan menganjurkan konsert bagi mengumpul dana bertajuk "A Very Meowy Krismas!" Menampilkan pemuzik dari Prince of Wales Island International School dan Penang Lights Contemporary Choir di Penangpac di Straits Quay, Tanjong Tokong.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman mereka Facebook (facebook.com/catbeachpenang) atau catbeachpenang.com.

Orang ramai juga boleh melawat Pantai Kucing yang beroperasi bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang bagi menikmati kopi dan kek.

Pantai Kucing, Cat Beach

Artikel Sebelum

Artikel Lain