PUTRAJAYA: Semua kenderaan perdagangan diwajibkan memasang pelekat pemantul cahaya berkuat kuasa Januari depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Nadzri Siron. Semasa mengumumkan demikian pada Rabu, beliau berkata pemantul cahaya itu perlu mematuhi piawaian Malaysia Standard MS828:2011 yang diiktiraf SIRIM Berhad. "Pemilik kenderaan perdagangan yang gagal memasang pelekat pemantul cahaya berstandard SIRIM Berhad akan dikenakan denda RM300 dan amaran supaya berbuat demikian dalam tempoh 10 hari," katanya pada sidang media di sini. Beliau berkata langkah itu dilaksanakan berikutan banyak kemalangan pada waktu malam membabitkan kenderaan perdagangan yang sering diletakkan di tepi jalan kerana rosak. Daripada lebih 18 juta kenderaan yang berdaftar dengan JPJ, sebanyak 1.2 juta adalah kenderaan perdagangan. Terdahulu, beliau menghadiri taklimat berhubung pemasangan pemantul cahaya pada kenderaan perdagangan yang dihadiri oleh syarikat, pengusaha dan pemilik kenderaan bersama-sama JPJ, SIRIM Berhad dan Puspakom. Nadzri berkata ketika ini, hanya dua syarikat yang menjual produk pemantul cahaya diiktiraf SIRIM QAS International iaitu 3M Malaysia Sdn Bhd dan Orafol Reflective Solutions (Malaysia) Sdn Bhd, dengan setiap produk dijual pada harga antara RM60 dan RM80 di Puspakom serta beberapa syarikat yang dilantik pembekal. Menurutnya setiap kenderaan perlu memasang tiga pemantul cahaya iaitu dibelakang serta di kiri dan kanan kenderaan dengan jarak penglihatan dianggarkan sejauh 400 meter dari kenderaan di belakang. Beliau turut mengingatkan pengusaha dan pemilik kenderaan perdagangan mengenai kewujudan pelekat pemantul cahaya tiruan yang tanpa logo JPJ di pasaran tempatan. "JPJ kini bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi membanteras penjualan produk tiruan itu," katanya. -Bernama