MELAKA: Jabatan Kebajikan negeri telah mengarahkan sebuah rumah jagaan orang-orang tua ditutup dalam tempoh seminggu berikutan dakwaan terbabit dengan penderaan terhadap seorang warga emas. Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka, Datuk Latipah Omar berkata, semua 19 orang penghuni akan dipindahkan ke rumah lain. "Kami mendapati rumah itu tidak sesuai untuk menjaga warga emas selepas bertemu dengan penghuni dan penjaga," katanya selepas membuat lawatan di rumah itu bersama berberapa pegawai Jabatan pada Rabu. Dalam pada itu, penjaga rumah tersebut yang berusia 56 tahun menafikan telah mendera warga emas selepas rakaman penderaan menjadi viral dan turut tersebar melalui aplikasi WhatsApp. Dia mendakwa bahawa seorang bekas kakitangan di All Mighty Old Folks Home yang dipecat telah merakam video tersebut untuk memburukkan reputasi rumah jagaan itu. "Rakaman menunjukkan saya menolak kepala orang tua menjadi viral selepas seorang kakitangan di sini dipecat pada 1 Oktober lepas," katanya. Walau bagaimanapun, bekas kakitangan berkenaan menafikan bahawa dia dipecat oleh penjaga rumah tersebut. "Saya meletak jawatan secara sukarela kerana saya tidak tahan lagi melihat orang tua dibuli," katanya. Pada 4 Oktober, seorang wanita berusia 29 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga mendakwa penjaga rumah itu sering memukul warga emas. Dalam laporan itu, dia turut mendakwa bahawa penjaga rumah itu telah menyalahgunakan sumbangan orang ramai bagi kegunaan sendiri dan kadang-kala tidak memberi makanan kepada penghuni warga emas di situ.