PETALING JAYA: Ahli keluarga aktivis misi bantuan kemanusiaan, Dr Fauziah Hasan yang kini ditawan Israel sudah menjangka bakal berdepan insiden itu dan bersedia menghadapi situasi berkenaan dengan penuh kesabaran. "Kami ahli keluarga sudah buat persediaan. Kami menjangkakan situasi seperti ini akan berlaku," kata suami Dr Fauziah, Prof Dr Alauddin Mohd pada sidang media Humanitarian Care Malaysia (MyCare) pada Khamis. Menurut pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, apa yang lebih penting adalah pernyataan yang cuba disampaikan di mana sekatan Israel ke atas Gaza adalah tidak sah. Terdahulu pada sidang media berkenaan, Pengerusi MyCare, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor memberitahu, semua anak kapal dan 10 aktivis wanita termasuk Dr Fauziah dalam keadaan selamat. "Mereka tiba di Pelabuhan Ashdod dekat sempadan Israel pada pukul 12 tengah malam waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia)," katanya. Tentera Israel telah menahan kapal layar, Zaytouna-Olivia, bersama tiga anak kapal dan 10 aktivis wanita termasuk Dr Fauziah yang merupakan wakil tunggal Malaysia dalam misi 'Women's Boat To Gaza'(WBG), Rabu. Kapal itu yang dalam perjalanan menuju ke Gaza, ditahan pada pukul 2.58 petang waktu tempatan (7.58 malam waktu Malaysia). Pelayaran WBG bermula pada 8 malam, 14 September (waktu tempatan Barcelona) dari pelabuhan Vell dan berhenti di Ajaccio, Perancis (bagi pusingan pertama) pada 19 September sebelum meneruskan perjalanan ke Messina, Itali (pusingan kedua).