PETALING JAYA: Kementerian Luar sedang memantau rapi situasi di mana bot yang membawa 13 sukarelawan termasuk rakyat Malaysia, Dr Fauziah Hasan yang kini ditawan tentera Israel di perairan Gaza pada Rabu. Kumpulan itu menyertai Misi Women's Boat to Gaza menaiki bot Zaytouna-Oliva apabila ditahan pasukan tentera Israel dan dibawa ke pelabuhan Ashdod di negara itu. "Ketika ini pihak kementerian sedang berkomunikasi dan berhubung dengan beberapa pihak untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden itu," demikian menurut kenyataan Wisma Putra pada Khamis. Kenyataan itu juga menyebut, usaha sedang dilakukan untuk memastikan Dr Fauziah yang menyertai misi bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban rakyat Palestin itu dibebaskan lebih awal. Dr Fauziah adalah perunding di Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur dan juga anggota lembaga pemegang amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCare).