suria

Dua Murid Tahun Empat Sesat Ketika Sertai HSN2016

KUALA TERENGGANU: Dua murid tahun empat sekolah Kebangsaan Pasir Panjang, dekat sini tersesat selepas gagal pulang ke sekolah ketika menyertai Hari Sukan Negara yang dianjurkan di sekolah mereka, pada Sabtu.

Wan Noraiman Haikal Wan Saifuddin Hafiz dan Muhammad Fakrullah Mohd Fahimie dikesan tidak kembali selepas program berkenaan selesai.

Bagaimanapun kedua-dua mereka ditemui selamat kira-kira 9.30 malam, di Kampung Seberang Takir oleh penduduk kampung sebelum menghantar mereka ke sekolah.

Menurut bapa seorang daripada mangsa Mohd Fahimie Mamat, 30, kehilangan anak sulungnya itu disedari kira-kira 6 petang selepas pihak sekolah menghubungi isterinya.

Katanya dia bersama-sama isterinya bergegas ke sekolah untuk mengetahui perkembangan anaknya yang sepatutnya telah pulang ke rumah pada sebelah tengah hari.

"Pihak sekolah menyangkakan anak saya berada di rumah namun ketika itu anak saya masih lagi belum pulang ke rumah...macam-macam perkara negatif bermain di fikiran saya mungkin anak diculik dan sebagainya.

"Bimbang dengan keselamatannya, saya bersama penduduk mencarinya di kawasan sekitar termasuk di kawasan Bukit Bayas kerana mereka sering naik ke kawasan bukit tersebut," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu (IPD) di sini, malam tadi.

Sementara itu Muhammad Fakrullah berkata dia bersama rakannya keluar menerusi pintu pagar belakang sekolah pada 8 pagi untuk menyaksikan perlumbaan Sprint Test di Litar Gong Badak.

Katanya mereka berdua berjalan kaki dengan berbekalkan wang RM3 untuk menuju ke lokasi perlumbaan tersebut.

"Bila kami sampai rupa-rupanya perlumbaan itu tiada, lalu kami berjalan untuk balik ke rumah tapi tidak jumpa jalan balik sehingga malam.

"Sepanjang tempoh itu kami hanya minum air sebelum orang kampung menemui kami, lantas menghantar kami pulang ke sekolah," katanya.

HSN2016, Hari Sukan Negara

Artikel Berikut

Artikel Lain