suria

Remaja Miliki Waran Tangkap Ditahan Dalam Operasi Jalan Raya

LUMUT: Lapan penunggang motosikal termasuk seorang remaja berumur 17 ditahan polis dalam satu operasi di Jalan Ayer Tawar-Lumut, berhadapan pusat boling Ocean Bowl di sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata remaja itu bersama seorang lagi penunggang ditahan kerana mempunyai waran tangkap, manakala enam lagi ditahan akibat menunggang secara berbahaya sehingga membahayakan nyawa orang awam. 

Katanya dalam operasi yang bermula 2 petang hingga 7 pagi tadi itu, sebanyak 24 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk mengubah suai motor, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen dan tidak memakai topi keledar.

"Kami turut menyita 21 motosikal atas pelbagai kesalahan termasuk mengubah suai secara haram.

"Selain itu, tiga penunggang motosikal mengalami kecederaan selepas berlanggar sesama sendiri apabila cuba melarikan diri daripada sekatan polis," katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini, Ahad.

Tengku Mohd Zailan berkata 50 anggota dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung terlibat dalam operasi tersebut.

Katanya semasa operasi sebuah kereta Honda Civic pecah cermin depan dipercayai akibat terlanggar motosikal selepas pemandu membuat pusingan balik bagi mengelak sekatan polis di kawasan berkenaan.

Zailan berkata bagaimanapun polis berjaya mengejar kereta berkenaan tetapi pemandunya yang berumur 24 tahun melarikan diri dan meninggalkan dua rakan, masing-masing berumur 25 serta 16 tahun.

"Kami menasihati pemandu berkenaan supaya menyerah diri di IPD Manjung cawangan trafik untuk membantu siasatan. Pemeriksaan juga mendapati cukai jalan kereta telah tamat tempoh sejak Februari lalu," katanya.-- Bernama

Manjung, waran tangkap

Artikel Sebelum

Artikel Lain