PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memujuk PAS untuk bersama-sama pakatan pembangkang menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang. Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, Pakatan Harapan yang dianggotai Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP serta PPBM perlu membuktikan kepada rakyat mengenai kesungguhan pakatan pembangkang. "Kita masih punya waktu untuk buktikan kepada rakyat negara ini bahawa kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memujuk PAS. "Ini sangat penting supaya biar rakyat faham dengan jelas parti manakah yang sebenarnya merosakan segala impian dan harapan untuk menolak Barisan Nasional," katanya menerusi kenyataan. Sebelum ini, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu sedia memujuk PAS untuk bersama-sama parti pembangkang lain menentang BN. Bagaimanapun menurut Salahuddin, rundingan dengan PAS tidak seharusnya mengambil masa yang terlalu panjang kerana semua pihak perlu melakukan persedian awal menjelang PRU-14. "Amanah juga ingin menegaskan walaupun pintu rundingan sentiasa terbuka luas namum batas waktu rundingan mesti ditentukan supaya segala keputusan dan penentuan hala tuju kita dapat dimuktamadkan dengan segera. "Saya sangat yakin dan percaya bahawa rakyat telah terdidik dan mempunyai maklumat yang cukup untuk memberi sokongan kepada parti-parti politik yang telah jelas menzahirkan pendirian untuk menentang kezaliman Barisan Nasional. "Rakyat akan menolak parti yang bersengkokol dengan kezaliman Barisan Nasional walaupun berhempas pulas menyatakan mereka tidak bersama Barisan Nasional," katanya.