KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam akan mengendalikan sesi ke-67 Jawatankuasa Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Pasifik Barat di Manila mulai Isnin hingga 14 Oktober. Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan mengambil perhatian bahawa Dr Subramaniam adalah pengerusi baharu perhimpunan itu. "Ini adalah satu bentuk pengiktirafan daripada masyarakat antarabangsa tentang peribadinya sebagai seorang pemimpin pejuang dan pencapaiannya dalam membangunkan sistem kesihatan yang kukuh dan menyediakan penjagaan kesihatan yang baik kepada orang ramai," katanya. Menteri itu, antara lain, akan menyeru komitmen negara-negara anggota bagi memajukan sistem kesihatan yang mampan dan berprestasi tinggi demi menentukan kesihatan rakyat. Kenyataan itu berkata Dr Subramaniam akan juga menonjolkan peri mustahaknya menangani ancaman kesihatan semasa, khususnya denggi dan Zika. - BERNAMA