suria

Warga Nepal Dibunuh Rakan Di Dusun Buah-Buahan

Gambar hiasan.

BALIK PULAU: Dua warga Nepal ditahan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan membabitkan seorang lelaki warga Nepal yang dijumpai dengan kesan tikaman pada badannya di sebuah dusun awal pagi Rabu.

Ketua Polis Barat Daya Supt Anuar Omar berkata polis dimaklumkan tentang  penemuan mayat itu oleh pemilik dusun yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari jalan utama Titi Kerawang.

"Siasatan awal polis mendapati dua warga Nepal yang ditahan itu serta mangsa tinggal di dusun berkenaan, dan mereka dipercayai mabuk, setelah merayakan hari kebesaran yang disambut di Nepal malam Selasa, semasa insiden itu berlaku," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Anuar berkata suspek dan mangsa dipercayai bergaduh sebelum mereka masuk tidur, bagaimanapun tiada tanda-tanda pergelutan dijumpai pada tubuh mangsa.

"Kami percaya dia dibunuh semasa pergaduhan itu dan kesemua mereka berada di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek yang ditahan itu tidak dapat mengingati insiden berkenaan disebabkan mereka mabuk.

Polis merampas pisau dan golok yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

warga Nepal, kes bunuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain