suria

Pemilik Kenderaan Terbakar Diminta Hubungi Rapid Bus Untuk Pampasan

KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan yang rosak dalam insiden sebuah bas Rapid KL terbakar di Wangsa Maju di sini diminta menghubungi Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) bagi tujuan menuntut pampasan.

Rapid Bus dalam kenyataannya berkata kebakaran itu berlaku kira-kira 4 petang tadi melibatkan bas T521 (LRT Sri Rampai-Seksyen 10 Wangsa Maju).

Rapid Bus yang mengendali perkhidmatan bas Rapid KL di Lembah Klang mengesahkan sebuah bas Rapid KL terbakar berhampiran pusat beli- belah Aeon Big Wangsa Maju.

"Insiden berlaku apabila bas berhenti secara tiba-tiba dan kapten bas terhidu bau asap lantas menyuruh kesemua enam penumpang di dalamnya supaya keluar segera dari bas itu," kata Rapid Bus pada Khamis.

Semua penumpang itu tidak cedera.

Bagaimanapun, enam kenderaan yang berada berhampiran lokasi kejadian rosak akibat dijilat api.

"Sehubungan itu, Rapid Bus memohon pemilik kenderaan terlibat supaya menghubungi di talian bantuan 03-7885 2585 atau e-mel kepada [email protected] bagi tujuan tuntutan pampasan," katanya.

Rapid Bus juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menyiasat punca kejadian dan kos kerugian.

"Keselamatan dan keselesaan penumpang adalah keutamaan kami dalam memberikan servis yang terbaik. Rapid Bus memohon maaf di atas insiden ini yang menyebabkan gangguan lalu lintas di sekitar lokasi kejadian," kata kenyataan itu.

Rapid Bus, Rapid KL

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain