suria

Vida Berdepan 32 Tuduhan Akta GST

Pengasas produk kecantikan Vida Beauty Datuk Seri Hasmiza Othman tiba di Mahkamah Sesyen Ipoh untuk menghadapi pertuduhan kesalahan membabitkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, Khamis.

IPOH: Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, 45, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 32 pertuduhan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Vida mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu didakwa gagal mengemukakan penyata dan gagal membayar cukai GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Mahkamah menetapkan wang jaminan berjumlah RM1.76 juta bagi kesemua pertuduhan dan pasport serta dokumen perjalanan milik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding perbicaraan selesai.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil dan Syed Ahmad Syed Abas.

Vida tiba di kompleks mahkamah Ipoh kira-kira pukul 9 pagi, manakala prosiding hanya bermula 12.15 tengah hari sebelum ditangguhkan kira-kira pukul 2 petang. Sebutan semula kes pada 15 November ini. -- Bernama

GST, Vida Beauty, Hasmiza Othman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain