PETALING JAYA: Empat lelaki dipercayai ah long bersenjatakan parang dan tukul berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika cuba melarikan diri dari kawasan perumahan di Kota Damansara pada Rabu. Sekumpulan lelaki itu dipercayai bertanggungjawab melempar cat merah di sebuah rumah beberapa minit sebelum rakaman tersebut. Rakaman CCTV itu menjadi viral selepas persatuan penduduk Kota Damansara memuatnaik video tersebut di laman Facebook. Rakaman itu menunjukkan empat lelaki di pondok pengawal cuba meninggalkan kawasan tersebut. Mereka dilihat mengugut pengawal untuk membuka palang sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta Toyota Estima. Sekumpulan lelaki itu turut mengugut beberapa pemandu dengan memaksa mereka mengundurkan kereta bagi sebelum meninggalkan kawasan tersebut. Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata insiden itu berlaku kira-kira pukul 2.50 petang Rabu apabila seorang wanita berusia 66 tahun dikejutkan dengan bunyi bising di luar kediamannya di Jalan Sepah Puteri 5/1, Seri Utama. Dia ternampak empat lelaki melempar botol kaca berisi cat merah di pagar dan dinding rumahnya. Sekumpulan lelaki itu melarikan diri menggunakan Toyota Estima. Mohd Zani berkata siasatan mendapati wanita itu tidak membuat sebarang pinjaman daripada ah long tetapi insiden tersebut ada kaitan dengan bekas suaminya. Mereka bercerai pada 1987. Katanya, wanita itu percaya bekas suaminya membuat pinjaman wang dengan ah long menggunakan alamat kediamannya.