DUNGUN: Saya rindu sangat nak kembali menyarung uniform, rindu nak bekerja untuk berkhidmat kepada masyarakat," luah seorang anggota Bomba dan Penyelamat yang kini menderita akibat penyakit 'secondary digital gangrene'. Amran Yusof, 48, yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Dungun terpaksa mengambil cuti sakit sejak akhir September tahun lalu setelah tidak dapat menjalankan tugas akibat penyakit yang dialaminya. Beliau yang juga mengalami penyakit kencing manis tidak berupaya untuk berjalan serta tidak mampu bertutur dengan baik setelah diserang strok tahun lalu. Isterinya Alina Daud, 44, berkata suaminya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada beliau dan tiga lagi anak untuk menguruskan diri setelah kebanyakan jari kaki dan tangannya mulai mereput akibat sel mati. "Boleh dikatakan semua jari kaki dan tangan suami saya mulai mereput sebab sel pada bahagian tersebut mati dan tidak lagi dapat berfungsi...sebenarnya punca suami jadi macam ni hanyalah disebabkan oleh demam panas dan jangkitan paru-paru yang dialami pada pagi Aidiladha kedua tahun lalu. "Masa tu suami nak pergi kerja, tapi bila demam kami bawa dia ke hospital...dah sampai hospital, doktor bagitahu paru-parunya dijangkiti kuman dan mula merebak, sejak dari hari itu satu persatu penyakit datang dan suami ditempatkan dalam wad (unit rawatan rapi) ICU selama 13 hari dan wad biasa lebih sebulan," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Rumah di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Roslee Daud. Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu Penolong Pesuruhjaya Bomba Azlimin Mat Noor. Alina berkata meskipun suaminya tidak mampu untuk bekerja, namun semangat suaminya untuk kembali bekerja tidak pernah luntur dalam dirinya. "Selepas keluar dari hospital, suami saya pernah berputus asa dan dia pernah bagitahu rasa macam tak nak hidup lagi sebab daripada keadaan normal dia dah jadi orang kurang upaya (OKU), kaki dan tangan semua tak dapat nak bergerak macam orang normal...tapi dia kembali kuat bila teringat kerjanya. "Uniform yang saya gantung dalam bilik untuk dia pakai pergi bertugas pada hari raya tahun lalu, kini masih lagi kekal tergantung di dalam bilik...suami marah kalau simpan sebab dia cakap nak sarung lagi uniform tu. "Kalau tengok berita dan cerita yang melibatkan bomba, pasti suami akan menangis dan berulang kali cakap dia nak kembali bekerja sehinggakan suatu hari suami saya dapat angkat sendiri kedua-kedua tangannya sambil ucap 'aku nak kembali bekerja'," katanya. Alina berkata walaupun terpaksa memperuntukkan sebanyak RM1,000 setiap bulan untuk membeli ubat dan perbelanjaan rawatan suaminya, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada pihak bomba dan kerajaan negeri yang sentiasa menghulurkan bantuan. "Syukur, setiap kali nak dapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, pihak bomba yang akan hantar dan ambil saya serta suami, memang banyak bantuan daripada mereka, Yang Berhormat Roslee sendiri pernah datang ke rumah memberikan bantuan kerusi roda dan suami juga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. "Hari ini pun, kami sekeluarga menerima berita gembira apabila kerajaan negeri dan bomba bersama-sama membina semula rumah peninggalan arwah mertua saya...memang sangat bersyukur, sekurang-kurangnya dah terlepas beban saya untuk membayar sewa rumah sebanyak RM600 sebulan seperti sekarang...memang bomba serta kerajaan negeri sangat menitikberatkan soal kebajikan suami saya," katanya. Sementara itu, Roslee, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi berkata rumah yang dibina semula dengan kos kira-kira RM40,000 itu dijangka siap dalam tempoh sebulan. "Rumah ini akan dibina secara bergotong-royong oleh pihak bomba dibantu oleh beberapa agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Pejabat Daerah dan Tanah Dungun serta Majlis Perbandaran Dungun...kita harapkan bantuan rumah ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga Amran untuk hidup lebih selesa," katanya. Azlimin pula berkata melalui program NBOS itu, sebanyak tiga buah rumah dibina baharu dan 10 buah rumah dibaik pulih di seluruh negeri pada tahun ini dengan nilai keseluruhan lebih RM220,000 yang disalurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). "Sepanjang tahun ini, tiga buah rumah dibina baharu dengan kos RM40,000 untuk satu unit manakala 10 buah rumah dibaik pulih dengan kos sebanyak RM10,000 untuk satu unit yang mana kita mendapat peruntukan daripada KKLW. "Untuk rumah anggota kita hari ini, kita mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri yang sangat mengambil cakna terhadap anggota kita," katanya. - BERNAMA