suria

Dua Keluarga Rayu Sumbangan Untuk Pembedahan

R. Nithya Rubhini (tengah)bersama ibunya G. Neelaawathi menunjukkan salinan laporan kesihatan ketika sidang media pada Jumaat yang turut disertai Mohd Ravi Abdullah.

IPOH:  Seorang ibu merayu sumbangan orang ramai bagi membolehkan anaknya R. Nithya Rubhini, 17, menjalani pembedahan kerana dikhuatiri menghidap kanser payudara.

G. Neelaawathi, 45, yang merupakan suri rumah sepenuh masa berkata anaknya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan sudah tiga minggu tidak ke sekolah kerana kesihatan yang tidak mengizinkan. 

Neelaawathi berkata anak sulungnya itu mula menyedari ada ketulan keras pada payudara kanan tahun lepas tetapi kini telah berjangkit di kedua-dua belah.

"Doktor pakar memaklumkan anak saya perlu menjalani pembedahan bagi mengetahui lebih lanjut keadaannya dan prosedur itu menelan belanja kira-kiraRM10,000.

"Kami tidak mampu menampung kos tersebut memandangkan suami sahaja yang bekerja dan perlu menanggung empat anaknya lagi," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini pada Jumaat.

Sementara itu, seorang tukang rumah yang menghidap masalah jantung tersumbat sejak Ogos lalu memohon bantuan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan saluran jantung tersumbat. 

Kamal Ariffin Abdullah, 48, berkata berdasarkan pemeriksaan di Hospital RajaPermaisuri Bainun di sini, tiga saluran jantungnya disahkan tersumbat dan perlu segera menjalani pembedahan.

"Saya tidak mampu membiayai kos pembedahan yang menelan belanja sekitar RM20,000 termasuk rawatan susulan," katanya. Kamal Ariffin yang belum berkahwin kini hanya mengharapkan ihsan keluarga bagi menanggung kehidupan seharian ekoran dia sudah tidak mampu untuk bekerja.

Ketua Pusat Khidmat dan Aduan BN Ravi Abdullah meminta orang ramai supaya dapat menghulurkan sumbangan kepada kedua-dua pesakit itu agar mereka dapat meneruskan kehidupan harian. 

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan mereka boleh menyalurkannya ke akaun Neelaawathi, 1081-789-72-449 (Maybank) dan Kamal Ariffin di akaun 1580-426-25-822 (Maybank). -Bernama

Rayu sumbangan pembedahan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia