PETALING JAYA: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, sangat sinonim sebagai pemerintah yang sentiasa menampilkan perwatakan bersederhana terutamanya dari segi penampilan dan pertuturan. Pemilihan Sultan Muhammad V dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Istana Negara pada Jumaat bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Gemar menggelarkan diri sebagai "kita" atau "saya" berbanding "beta", Sultan Muhammad V sangat disenangi rakyat setiap kali mereka didekati dan berbicara dengan baginda. Malah menerusi penampilan yang cukup sederhana dengan hanya memakai jubah atau baju melayu dan berkain pelekat ketika melakukan lawatan, tidak timbul rasa kekok dalam kalangan rakyat apabila bersua dengan baginda. Tidak setakat itu, Sultan Muhammad juga dikenali dengan sifat prihatin yang cukup tinggi kerana sering turun padang untuk bertemu rakyat walaupun terpaksa meredah ke kawasan pendalaman. Lebih mengagumkan, kebanyakan lawatan ke atas rakyatnya dilakukan secara mengejut. Baginda ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985 sebelum dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010. Putera sulung Sultan Ismail Petra itu sebelum ini menggunakan Tengku Muhammad Faris Petra sebelum menukarnya kepada Sultan Muhammad V apabila menaiki takhta sebagai Sultan Kelantan. Melalui pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1, putera sulung Sultan Ismail Petra itu kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur. Tidak terhenti setakat itu, baginda meneruskan pelajaran di Oakham School Rutland di England pada 1989 sebelum menyambung pengajian dalam bidang Kajian Diplomatik di Kolej Saint Cross College, Oxford dan di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991. Walaupun memegang tugas sebagai Canselor Unversiti Malaysia Kelantan (UMK), Sultan Muhammad V tidak berdepan masalah untuk mengisi masa lapang dengan membaca buku. Selain itu, baginda turut menceburi sukan lasak seperti ekspedisi pacuan empat roda, kejohanan kuda lasak dan menembak.