suria

Air Pasang Besar: Penduduk Kampung Kelanang Sibuk Cari Siput

Penduduk kampung keluar mencari kerang dan siput jenis Pepahat selepas air laut mulai surut akibat fenomena air laut pasang besar di Pantai Kelanang, Banting, Sabtu. Foto Bernama

KUALA LANGAT: Walaupun dalam keadaan berwaspada terhadap fenomena air pasang besar, namun penduduk Kampung Kelanang di sini sempat juga turun ke laut bagi mencari siput pepahat dan kerang.

Pada pagi Ahad di Pantai Kelanang, kelihatan kira-kira 30 penduduk berada kira-kira satu kilometer di tengah laut yang airnya surut sedang mencari mencari pepahat dan kerang.

Muhd Azwan Zulkarnain, 21, berkata dia mula turun ke pantai mulai pukul 7 pagi.

"Saya dan yang lain akan mencari siput pepahat dan kerang sehingga pukul 1 tengah hari setelah air laut akan pasang," katanya kepada Bernama.

Mengenai hasilnya, dia berkata jika cuaca baik, dia dapat membawa balik sehingga lima kilogram pepahat dan kerang. 

Kandar Anis, 40, berkata setiap hari ramai penduduk yang akan turun ke pantai mencari pepahat dan kerang.

"Air pasang merupakan kejadian biasa di sini, namun saya tetap berhati-hati," katanya.

Seorang nelayan Mustakim Mohd Nor, 37, pula berkata sepanjang menetap di kampung berkenaan, air laut tidak pernah melimpah ke kediaman penduduk ketika berlaku fenomena berkenaan.

"Selama 37 tahun saya tinggal di sini sejak lahir, kejadian air laut pasang paling tinggi hanya menyebabkan air laut melimpah hingga kawasan tempat letak kereta di pantai sahaja.

"Pernah juga berlaku banjir, tetapi tidak serius dan ia disebabkan hujan lebat bukan sebab air pasang," katanya yang tinggal kira-kira 300 meter dari pantai.

Mustakim berkata beliau tidak lupa untuk memindah barangan serta dokumen penting ke tempat lebih tinggi dan bersedia untuk berpindah jika perlu.-- Bernama

Kampung Kelanang, kerang, pepahat

Artikel Lain