KUALA LUMPUR: Malindo Air pada Isnin mengumumkan larangan membawa masuk telefon bimbit pintar Samsung Galaxy Note 7 ke dalam semua pesawatnya mulai 12.01 tengah malam Isnin. Menurut syarikat penerbangan itu, larangan tersebut dilaksanakan susulan kebimbangan berlakunya risiko kebakaran berpunca dari bateri peranti berkenaan selepas sejumlah insiden di seluruh dunia. "Penumpang tidak dibenarkan membawa masuk telefon bimbit pintar Galaxy Note 7, dan mereka yang memiliki peranti itu, termasuk telefon gantian - berada pada mereka atau di dalam bagasi daftar masuk - tidak akan dibenarkan berlepas," menurutnya dalam kenyataan. Malindo Air memohon supaya semua penumpang mematuhi semua arahan keselamatan. - BERNAMA