SEMPORNA: Seorang pelancong lelaki warga China lemas ketika menyertai aktiviti snorkeling di kawasan Reef Dive Resort di Pulau Mataking, dekat sini, Ahad. Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, mangsa Xiong Qin Yu, 30-an, cuba diselamatkan pengawal pantai bertugas dengan menarik mangsa ke tepi pantai sebelum memberi bantuan pernafasan (CPR). "Semasa pengawal bertugas memberikan pertolongan CPR, lebih ramai lagi petugas resort tiba dan cuba membantu menyedarkan mangsa, namun gagal dan darah keluar dari hidung mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin. Menurut Peter, ketika kejadian mangsa dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan. "Mangsa yang dihantar segera ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan disahkan meninggal dunia di hospital," katanya lagi. - BERNAMA