suria

Serangan Penyokong Anti Bersih Keterlaluan - Puteri Umno

Mas Ermieyati Samsudin.

PETALING JAYA: Insiden petugas media diserang semasa membuat liputan konvoi Bersih 5.0 pada Sabtu lalu perlu dijadikan iktibar untuk mengelak kejadian sama berulang kembali, kata Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

"Apabila ia melibatkan keselamatan orang awam, hukuman yang sesuai perlu dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang mencetuskan kekecohan dan mengugat keharmonian serta keselamatan negara," katanya pada Isnin.

Bercakap mengenai insiden di mana penyokong anti-Bersih didakwa menyerang tiga wartawan yang membuat liputan konvoi Bersih 5.0 di Kuala Lumpur, Mas Ermieyati berkata tindakan tersebut bertentangan dengan budaya Malaysia dan adat resam masyarakat Islam.

"Tindakan ini akan menjejaskan keamanan, kestabilan, keharmonian dan sikap saling hormat-menghormati yang ada dalam diri masyarakat sejak dahulu lagi.

Beliau berkata tidak salah bagi mana-mana individu, kumpulan atau persatuan untuk berkempen secara aman dan mengikut undang-undang.

"Kami menghormati amalan demokrasi yang kita ikuti sejak kemerdekaan yang jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai rakyat, adalah menjadi tanggungjawab sesiapa sahaja untuk memastikan perpaduan, toleransi dan keharmonian kekal selamat," kata Mas Ermieyati.

Polis dikatakan sudah mengenal pasti tiga suspek yang didakwa menyerang wartawan terbabit.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel Sebelum

Artikel Lain