suria

Lans Koperal Dalang Curi Kereta Di Bukit Aman

Amar Singh Ishar Singh.

KUALA LUMPUR: Kes kehilangan dua kereta milik pegawai polis yang diparkir di Menara 1, Bangunan Kompleks Polis DiRaja Malaysia Bukit Aman, didalangi seorang anggota polis dan empat rakannya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kehilangan kereta Volkswagen Vento milik seorang Deputi Superintendan Polis (DSP) dan Proton Saga BLM milik Asistan Superintendan Polis (ASP) masing-masing dari Jabatan Siasatan Trafik dan Jabatan Penguatkuasaan berlaku pada 6 Oktober lepas.

"Siasatan dilakukan susulan kehilangan kereta di tempat parkir Bukit Aman dan hasilnya, polis menahan seorang anggota berpangkat Lans Koperal berumur 30-an yang bertugas di Cawangan Kem Komandan Bukit Aman," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Amar Singh berkata, empat lagi lelaki berusia di antara 29 hingga 42 tahun, yang bekerja sebagai penarik kereta dan mekanik, ditahan pada Isnin lepas.  

"Keempat-empat lelaki itu ditahan di Selangor bersama-sama kereta Volkwagen Vento yang dilaporkan hilang itu. Bagaimanapun, kereta Proton Saga BLM itu masih belum ditemui," katanya.

DSP itu ke Terengganu untuk tugasan rasmi dan meletakkan keretanya di Tingkat Satu parkir itu pada 26 September sebelum kembali pada 5 Oktober lepas manakala ASP itu meletakkan keretanya di Tingkat Dua kerana melaksanakan tugasan rasmi di luar kawasan.

Kedua-dua pegawai polis berkenaan terkejut apabila mendapati kereta mereka hilang sekembalinya ke Bukit Aman untuk mengambil kenderaan masing-masing.

"Kami sedang menyiasat suspek sama ada mereka pernah terlibat dengan mana-mana sindiket curi kereta," katanya. 

Amar Singh berkata, anggota polis itu membawa keluar kenderaan itu dengan bantuan empat lelaki berkenaan, dan dua kereta itu telah pun dijual kepada pihak ketiga.

Menurutnya, anggota polis itu telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu manakala empat rakannya ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Amar Singh berkata polis telah menghantar alamat Internet Protokol (IP) seorang lelaki tempatan yang dipercayai memuat naik gambar lucah kanak-kanak di laman sosial kepada Unit Forensik untuk siasatan lanjut.

"Kami masih menyiasat sama ada gambar kanak-kanak itu milik rakyat negara ini atau luar negara," katanya.

Pada 14 Oktober lepas, polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai memuat naik gambar lucah kanak-kanak di laman sosial di Jinjang Utara dalam operasi pada 9.50 pagi.

Lelaki itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di rumahnya selepas polis menerima maklumat mengenai aktiviti mengeksploitasi kanak-kanak di laman sosial daripada Polis Taiwan. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain