suria

Buruh Asing Maut, Dua Cedera Parah Dihempap Dinding Konkrit

Gambar hiasan.

MELAKA: Seorang buruh asing maut manakala dua lagi cedera parah selepas dihempap dinding konkrit tangki air yang runtuh di sebuah universiti tempatan di Alor Gajah di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt A. Asmadi Abdul Aziz berkata sebelum kejadian kesemua mangsa sedang menjalankan kerja pembinaan apabila dinding konkrit berkenaan runtuh dan menghempap mereka dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang Khamis.

Beliau berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Abu Ardianto, 31, yang cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Dua rakannya yang cedera parah pula dikenali sebagai Rio Sutari, 28, dan Amirudin, 37.

"Siasatan awal mendapati terdapat runtuhan platform dan bumbung tangki air dan simen yang belum kering dalam bangunan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala mangsa yang maut turut dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Ridhuan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.16 petang sebelum menghantar sebuah jentera dengan lapan anggota dan pegawai ke tempat kejadian.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira sembilan minit kemudian, ketiga-tiga mangsa yang terperangkap telah dikeluarkan dan dua mangsa didapati cedera parah manakala seorang lagi tidak sedarkan diri.

"Mangsa yang cedera parah dibawa ambulans universiti tersebut ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan dan kita terus menjalankan pemeriksaan dalam runtuhan konkrit berkenaan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap serta keadaan selamat," katanya. - BERNAMA

buruh asing, maut

Artikel Berikut

Artikel Lain