suria

Cadangan Perkenal Pengebirian Kimia Dipertimbang

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan hukuman Kastrasi Kimia (pengebirian kimia) ke atas pesalah pedofilia di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan dan pandangan bagi memastikan isu berkaitan wanita dan kanak-kanak dapat ditangani dengan baik. 

"Saya yakin Jawatankuasa Bertindak berkaitan jenayah seksual kanak-kanak yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) sedang berbincang dengan teliti apakah jalan terbaik yang boleh dicari bagi menyelesaikan isu ini. 

"Kita (kerajaan) sentiasa prihatin dan terbuka mendengar pandangan, mungkin kembiri juga salah satunya (penyelesaian), ia boleh diberikan pertimbangan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan hukuman Kastrasi Kimia seperti yang dilakukan kerajaan Indonesia.

Malaysia pernah digemparkan dengan isu pedofilia apabila seorang jurufoto bebas warga British, Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London pada 6 Jun lepas, kerana kesalahan pencabulan seksual ke atas 23 kanak-kanak di Malaysia serta bayi dan kanak-kanak di Kemboja dalam tempoh hampir satu dekad.-- Bernama 


pedofilia, Kastrasi Kimia, Azizah Dun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain