PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai 'mengecewakan'. Setiausaha Agungnya, N Gopal Kishnam berkata, kekecewaan itu timbul apabila kerajaan dilihat seolah-olah meminggirkan sektor dan kakitangan swasta yang turut menyumbang dalam pembangunan negara. "Mengecewakan dan tiada apa-apa. "Apa yang saya lihat pekerja swasta seperti dianaktirikan walaupun sektor swasta yang membawa kepada Keluaran Dalam Negara, tapi tak ada apa-apa," katanya kepada mStar Online. Beliau dihubungi bagi mengulas mengenai kandungan dan intipati Bajet 2016 yang dibentang oleh perdana menteri di Dewan Rakyat, Jumaat. Gopal Kishnam berkata sebelum pembentangan bajet dibuat, MTUC telah menaruh harapan tinggi dan mengharapkan sedikit 'berita baik'. "Kita fikir kali ini kerajaan akan beri pertimbangan terhadap sektor swasta dan merangkumi semua pihak, tapi tidak. "Kita tak dapat buat apa-apa sekarang, melainkan terpaksa tunggu jika ada ruang untuk ia dikaji semula," katanya. Katanya, perkara yang paling mengecewakannya apabila tiada pertimbangan dibuat terhadap tuntutan pelepasan cukai dan elaun sara hidup (Cola) sebanyak RM300. "Kos sara hidup setiap hari semakin meningkat, cukai pendapatan semua orang bayar, kita cuma harapkan sedikit bantuan kerajaan," katanya. Bajet 2017 bertemakan 'Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh'.