PETALING JAYA: Mereka yang bergantung kepada pengangkutan awam akan mendapat manfaat daripada keputusan kerajaan yang mengumumkan lanjutan bantuan kepada pemandu teksi dan pemandu Uber. Seramai 12,000 pemandu teksi akan mendapat bantuan RM5,000 bagi membantu mereka membeli kenderaan sendiri dan memohon permit teksi. Uber juga mendapat sokongan besar apabila mereka yang ingin memandu untuk syarikat itu, tetapi tidak memiliki kenderaan boleh memohon rebat RM4,000 untuk membeli kereta Proton Iriz. Setiausaha Agung Fomca, Datuk Paul Selvaraj berkata pengguna juga akan mendapat manfaat besar. "Orang ramai mempunyai lebih banyak pilihan sekarang dan mungkin akan menikmati kadar yang lebih baik. "Tetapi saya harap kerajaan memberi tumpuan kepada bas-bas dan menyediakan pengangkutan dari stesen LRT ke rumah," katanya. Sebagai reaksi, Uber berkata ia akan mengumumkan kerjasamanya dengan Proton tidak lama lagi. "Ia (kenyataan Perdana Menteri) turut menjadi kejayaan bagi industri (perkhidmatan pengangkutan) dan menunjukkan kepemimpinan yang berwawasan. Kami memuji kerajaan Malaysia di atas bajet yang berpaksikan rakyat. "Di mana juga kami beroperasi, Uber terbukti memberi impak positif terhadap rakyat serta bandar selain turut menyumbang kepada ekonomi tempatan," kata Pengurus Besar Uber Malaysia, Leon Foong. Grab juga mengalu-alukan peruntukan dana kepada pemandu teksi dan Uber. "Kami menghargai bajet yang baru diumumkan yang dilihat perlu untuk mengatasi halangan yang ketara, iaitu pemilikan kenderaan dan memanfaatkannya sebagai sumber sah pendapatan," kata Ketua Negara Grab Malaysia Jaygan Fu. Seperti yang dijangka, persatuan teksi tidak teruja dengan pengumuman itu. Pengasas Big Blue Taxi Service Datuk Shamsubahrin Ismail berkata peruntukan itu juga akan menggalakkan lebih ramai pemandu memulangkan kereta sewa mereka. Langkah kerajaan untuk membolehkan pemandu teksi dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 untuk menjadi ahli Perkeso juga dipuji. Di bawah skim Perkeso, dengan sumbangan antara RM157 dan RM443 setiap tahun atau kira-kira RM13.08 sebulan, pemandu teksi layak mendapat bantuan kewangan jika berlakunya situasi yang tidak diingini. Pemandu yang hilang keupayaan untuk memandu akan menerima bayaran sekali gus antara RM43,000 dan RM121,000 dan bayaran bulanan antara RM1,281 dan RM2,624 sepanjang hayat. Sekiranya berlaku kematian, waris akan menerima faedah tanggungan antara RM945 dan RM2,655 sebulan. Perlindungan Perkeso telah menjadi satu isu yang dituntut oleh pemandu teksi sejak 2013. Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Tan Sri Zainal Rampak berkata, perkara ini jarang-jarang berlaku dalam sektor ini di bawah bajet negara. Pemandu teksi C. Satkunaseelan berkata sumbangan Perkeso akan menyediakan bantuan kewangan kepada kumpulan pemandu teksi. "Pada masa ini, kita tidak mempunyai apa-apa perlindungan dan apabila kejadian tidak diingini berlaku, kehidupan kita akan menjadi lebih buruk," katanya.