suria

Ice-Watch Light Up The Night Run 2016 Kembali Disember Ini

Pengurus Kanan Plaza Shah Alam, Azura Mokhtar dan Hafiz (dua dari kiri) bersama Meer Sadik Habib dan Pengurus Besar Plaza Shah Alam, Lung Hien Chou pada sidang media larian yang akan berlangsung 3 Disember ini.

SHAH ALAM: Program Ice-Watch Light Up The Night Run 2016 akan diadakan buat kali kedua di sini dengan penyertaan yang dijangka mencecah 5,000 orang.

Pengarah Urusan Kumpulan Habib, Datuk Meer Sadik Habib berkata, program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan pada tahun lepas dan mengharapkan perkara yang sama berlaku pada 3 Disember ini.

“Tahun lepas adalah kali pertama kami menganjurkan program ini dan mendapat penyertaan seramai 3,500 orang dan tahun ini pula, kami sudah mendapat penyertaan seramai 4,000 orang setakat ini. 

"Kami mengharapkan program kali ini akan menjadi lebih baik daripada tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, selain penyertaan meningkat, laluan sepanjang larian akan dipenuhi warna warni, manakala hadiah lebih lumayan disediakan kali ini.

“Pemilihan tiga warga kemeja t bagi larian itu iaitu biru, hijau dan kuning tentu akan memeriahkan program tahun ini.

"Selain itu, peserta juga berpeluang untuk mendapat jam tangan Ice-Watch percuma,” jelasnya.

Menurut pengarah projek The Marathon Company, Hafiz Md Khas, bagi larian 10 kilometer (km), tahun ini pelari berpeluang untuk melalui laluan baharu.

Garis permulaan dan penamat bagi larian ini akan berlangsung di Plaza Shah Alam, yang bakal melanjutkan waktu operasi sehingga 12 tengah malam bagi memenuhi keperluan pelari seperti tempat makan.

Pendaftaran bagi Ice-Watch Light Up The Night Run 2016 akan dibuka sehingga akhir bulan ini, dan kategori terbuka kepada dua iaitu larian 5 km, berharga RM60 dan RM70 bagi larian 10km.

Sebarang maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/ice.watch.my.

Artikel Lain