Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kebakaran dipercayai sukar dikawal kerana kehadiran alat bantuan pernafasan mengandungi gas oksigen yang digunakan pesakit di wad ICU, menyebabkan api merebak terlalu cepat.
"Usaha menyelamat kesemua pesakit telah dilakukan. Namun disebabkan api merebak terlalu cepat, ada staf yang bertugas mengalami kesukaran bernafas dan ada yang pengsan disebabkan asap tebal," katanya dalam sidang media, di sini Selasa.
Dr Subramaniam berkata kementeriannya akan menunggu laporan penuh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum mengambil tindakan lanjut.
"Kami dimaklumkan keadaan api yang merebak dengan cepat dan kepulan asap tebal telah menyukarkan usaha menyelamat," kata menteri itu.
Enam yang terkorban dalam kebakaran yang berlaku sebelum 9 pagi hari ini merupakan pesakit di ICU. Pesakit ketujuh sempat diselamatkan.
Pada sidang media itu, Dr Subramaniam berharap semua waris dan anggota keluarga mangsa tabah dan diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan itu.
Pada masa sama, beliau telah mengarahkan kakitangan hospital supaya memberi apa juga bantuan diperlukan keluarga mangsa terlibat.
"Sebagai institusi yang menyediakan rawatan kepada pesakit, sudah tentu kami sangat bersedih dengan kejadian ini. Kami meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung punca kebakaran," katanya.
Ditanya sama ada pemeriksaan prosedur keselamatan pernah dilakukan terhadap hospital itu, Dr Subramaniam berkata ia sentiasa dilakukan, malah di kementerian sendiri wujud skuad khas untuk memantau perkara berkenaan.