suria

Edar Kokain: Mahkamah Kekalkan Hukuman Gantung Terhadap Wanita Thai

Chonmanee Laphathanawat.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu mengekalkan hukuman mati terhadap seorang wanita warga Thai yang disabitkan kesalahan kerana mengedar kokain di dalam 80 kapsul dengan menelan dan memasukkan ke dalam kemaluannya.

Ketika menolak rayuan Chonmanee Laphathanawat terhadap sabitan dan hukuman mati, Hakim Datuk Mohtarudin Baki, yang mengetuai panel tiga hakim, menegaskan bahawa keterangan terhadap wanita itu adalah kukuh dan sangat banyak.

"Mahkamah mendapati rayuan kamu tidak mempunyai merit. Sabitan ke atas kamu adalah kukuh. Sabitan dan hukuman mati disahkan," katanya.

Chonmanee, 31, dari wilayah Rayong, Thailand, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang tahun lepas kerana mengedar 689.10 gram kokain di Hospital Pulau Pinang antara 13 Februari 2013, dan 16 Februari  2013.

Berdasarkan fakta kes, Chonmanee ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 5.10 petang, 13 Februari 2013 selepas dia didapati berkelakuan mencurigakan di balai ketibaan lapangan terbang berkenaan.

Wanita itu menaiki penerbangan ke Singapura menerusi Barcelona dan sebaik tiba di Singapura, dia menaiki penerbangan sambungan ke Pulau Pinang sebelum ditahan.

Chonmanee kelihatan resah dan berjalan perlahan-lahan seolah-olah sedang menahan sesuatu.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan setelah dia memberitahu bahawa dia telah menelan sesuatu.

Sebanyak 78 biji bahan berbentuk bujur yang dibalut dengan plastik dijumpai di dalam najisnya selama empat hari dan dua biji lagi didapati di dalam kemaluannya.

Ketika membela diri, Chonmanee memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia menerima tawaran daripada seorang rakan bernama Bord untuk mengambil berlian dari Brazil untuk dibawa ke Thailand dan dijanjikan bayaran 70,000 Baht.

Katanya ketika di Sao Paolo, Brazil, rakan Bord dan seorang lagi lelaki datang ke rumah penginapannya dan mereka menutup matanya dengan kain serta memaksanya menelan objek berbentuk bulat.

Dia mengambil masa empat jam untuk menelan kesemua objek itu selepas diugut akan dibunuh sekiranya tidak menurut perintah.

Wanita itu berkata selepas itu, dia diberi empat biji pil untuk ditelan dan dia kemudian berasa mengantuk lalu tertidur.

Setelah terjaga, Chonmanee berkata dua lelaki itu kemudian memasukkan sesuatu ke dalam kemaluannya.

Katanya dia diberitahu oleh seorang lelaki berkulit hitam bahawa objek bulat yang ditelannya itu adalah berlian.

Chonmanee diwakili peguam Mohd Ismail Mohamad manakala Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid mewakili pendakwaan. - BERNAMA


Artikel Lain