PENDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berharap cadangan skim insurans untuk membantu pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana akan dapat dilaksanakan menjelang hujung tahun hadapan. Menterinnya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ini kerana pelaksana kajian itu, Agro Bank masih membuat kajian mengenai skim polisi insurans itu secara terperinci dan ia melibatkan pelbagai pihak. "Draf pertama sudah saya dapat dari Agro Bank yang membuat kajian mengenai pelaksanaan mekanisme itu namun saya masih belum puas hati dan mahu ia diperkemas dan diperincikan lagi sebelum kami bentangkan ke Kabinet," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Bantuan Bencana Agromakanan kepada Usahawan Tani Kedah dan Perlis di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda Wilayah III, Pendang di sini, Rabu. Malaysia katanya antara negara yang masih ketinggalan dalam soal melindungi pesawah daripada kerugian akibat bencana, berbanding beberapa negara jiran yang sudah lama melaksanakan inisiatif itu. Bagaimanapun katanya antara kekangan yang perlu dihadapi kerajaan dalam melaksanakan polisi itu ialah kesanggupan syarikat insurans untuk menawarkan polisi insurans melibatkan bencana alam. "Adakah syarikat insurans bersedia melibatkan diri, jika syarikat insurans tidak mahu ambil risiko adakah perlu akta khas untuk lindungi petani, yang perlu dipersetujui semua pihak termasuk Bank Negara. "Adakah kerajaan bayar penuh, atau separuh dibayar kerajaan dan separuh lagi oleh pesawah. Lagipun kita kena faham masyarakat desa ini masih belum dibudayakan dengan pembelian insurans dan tak ramai yang ambil," katanya. Malah beliau berkata kerajaan juga perlu memikirkan secara mendalam bentuk pampasan yang diterima pesawah, iaitu sama ada melalui tunai atau bantuan lain, dan kemampuan pesawah untuk membayar polisi insurans tersebut. Pengenalan skim insurans itu katanya, adalah amat perlu memandangkan pesawah padi merupakan 'hero negara' dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan terutamanya beras yang menjadi makanan utama penduduk di negara ini. Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata mahu mencontohi model skim insurans yang sudah lama diperkenalkan negara lain bagi memastikan para pesawah tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku bencana. Beliau memberi contoh sekiranya purata pengeluaran padi seseorang pesawah itu adalah lima tan bagi setiap hektar dan kemudiannya bencana alam mengakibatkan pengeluarannya menurun kepada empat tan, maka syarikat insurans perlu membayar jumlah kehilangan satu tan akibat bencana itu. "Mungkin paling lama pun mereka perlu tunggu sebulan kemudian dapat pampasan, tak perlu tunggu setahun begitu lama sehingga menjejaskan produktiviti pengeluaran mereka," katanya. Katanya kerajaan sudah melaksanakan skim perlindungan insurans kepada nelayan yang memberi banyak manfaat terutama kepada keluarga apabila nelayan terlibat ditimpa kemalangan semasa di laut. Sebanyak RM2,097,468 telah diagihkan kepada 1,893 penerima bantuan bencana banjir negeri bagi negeri Kedah dan Perlis dalam majlis hari ini. Seramai 2,167 usahawan tani pula menerima bantuan wang ihsan bencana agromakanan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang terdiri daripada sektor padi, tanaman, ternakan, akuakultur dan industri asas tani.-- Bernama