PETALING JAYA: Bakeri Komugi akan ditutup untuk 'pembersihan menyeluruh dan kajian semula prosedur operasi', manakala Mid Valley Megamall akan bekerjasama dengan semua penyewa untuk meningkatkan tahap kebersihan di pusat beli-belahnya. "Berkaitan kejadian di Komugi pada 23 Oktober 2016, Pengurusan Mid Valley Megamall ingin memohon maaf kepada pelanggan kami untuk pengalaman yang menyedihkan," kata pengurusan pusat beli-belah itu dalam satu kenyataan, Rabu. Gambar tikus di atas dulang roti yang baharu dibakar menjadi viral selepas pengguna Facebook, Melon Roux memuat naik gambar itu Ahad lalu. Dia tidak menyatakan nama cawangan kedai roti itu tetapi logo kedai tersebut jelas kelihatan di dalam gambar tersebut. Pengurusan Mid Valley Megamall berkata mereka kini sedang bekerjasama dengan Komugi dan pihak berkuasa untuk 'mengekalkan tahap kebersihan kedai mengikut standard'. Ekoran kejadian itu, pihak pengurusan pusat beli-belah itu berkata mereka akan menggandakan kekerapan pemeriksaan. Mereka juga akan dapat meningkatkan kekerapan latihan terhadap kakitangan semua penyewa mengenai pengendalian dan kebersihan makanan. Pengurusan itu berkata mereka juga akan mengadakan dialog dan rundingan lebih aktif dengan pihak berkuasa. "Kesejahteraan pembeli dan pelawat kekal menjadi keutamaan kami," kata pengurusan Mid Valley Megamall. "Kami berusaha untuk mengekalkan persekitaran beli-belah yang selamat dan selesa untuk semua," katanya.