PUTRAJAYA: Pelanggan terpaksa membayar harga pasaran untuk minyak masak dalam botol bermula 1 November ini manakala minyak masak dalam plastik kekal berharga RM2.50 sekilogram, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu berkata harga tersebut akan berkuat kuasa 1 November ini berikutan langkah rasionalisasi subsidi. Katanya kementerian itu perlu mengambil langkah tersebut kerana kerajaan perlu membelanjakan RM200 juta tambahan untuk bulan November dan Disember jika mereka meneruskan pemberian subsidi. Ini kerana harga minyak sawit meningkat kepada RM3,000 setan metrik berbanding RM2,341 setan metrik tahun lalu. "Meskipun peningkatan itu, kerajaan akan terus memberi subsidi minyak masak untuk kumpulan sasaran. Oleh itu, harga minyak masak dalam paket kekal pada harga RM2.50 sekilo," katanya.