suria

Budak 11 Tahun Minat Lego, Derita Sakit Kanser Meninggal Dunia

Muhammad Danish meninggal dunia pada awal pagi Rabu.

PETALING JAYA: Pesakit kanser berusia 11 tahun yang juga peminat Lego, Muhammad Danish Maarif meninggal dunia di rumahnya kira-kira pukul 4 pagi Rabu.

Muhammad Danish menderita penyakit kanser tulang atau osteosarcoma, tidak boleh makan atau minum sejak Isnin lalu.

"Pada petang Isnin, keluarganya membawa Muhammad Danish ke Hospital Kuala Lumpur kerana dia tidak boleh makan apa sahaja pada hari itu dan malam sebelumnya.

"Doktor memasukkan tiub makanan pada malam Isnin dan memberi susu kepadanya menerusi tiub itu.

"Dia dibenarkan keluar wad pada Selasa dan meninggal dunia kira-kira pukul 4 pagi Rabu," kata Wan Shahriza Wan Ab Rahman yang menjadi sebahagian daripada pasukan yang terlibat melakukan projek 'Legoland For Danish."

"Legoland for Danish" merupakan projek untuk membawa taman tema yang berpusat di Nusajaya, Johor, kepada Muhammad Danish menerusi lego yang disumbangkan orang ramai kerana dia terlalu lemah untuk berkunjung ke sana.

Kempen itu menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.

Pada 28 September lalu, impian Muhammad Danish menjadi kenyataan apabila Legoland Malaysia Resort dan Lego Malaysia bersama maskot watak popular Lego seperti Lego Darth Vader, Lego Builder, Lego Policeman berkunjung ke kediamannya di Kuala Selangor.

Pasukan itu turut menghias bilik pesakit kanser tersebut dengan barangan bertemakan pengembaraan untuk menjadikannya seperti bilik di Hotel Legoland.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain