KUALA KANGSAR: Sebuah ambulans terbakar 80 peratus di persimpangan lampu isyarat Taman Bunga Raya di sini Rabu malam. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar berkata satu jentera dengan kekuatan tujuh anggota berjaya mengawal kebakaran dalam masa tiga minit dan tiada kemalangan jiwa berlaku. Katanya dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, ambulans tersebut yang membawa dua kakitangan Hospital Kuala Kangsar dipercayai dalam perjalanan pulang dari Ipoh apabila secara tiba-tiba terbakar sebaik tiba di lokasi. "Namun kakitangan hospital yang berada dalam ambulans berjaya keluar dari kenderaan itu. "Tiada pesakit dalam ambulans berkenaan dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya sambil menambah operasi bomba memadam api pada ambulans itu tamat kira-kira jam 9.15 malam.-- Bernama