KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan menjalankan pengauditan kesiapsiagaan kebakaran di semua hospital di bawah kementerian itu secara berperingkat, bermula dengan hospital lama. Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata langkah tambahan itu penting untuk mengelak kejadian kebakaran seperti insiden di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada Selasa berulang. Beliau berkata kementerian bersama-sama agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya dan pihak perunding sememangnya memberi keutamaan yang tinggi kepada aspek keselamatan di samping memastikan ia dapat berfungsi mengikut keperluan perkhidmatan. "Sebelum pembinaan, reka bentuk bangunan hospital perlu mematuhi sepenuhnya ketetapan pihak berkuasa yang berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta lain-lain keperluan seperti yang termaktub di dalam Universal Building By Law (UBBL). "Begitu juga dengan sistem-sistem yang dipasang di dalam hospital adalah merupakan sistem yang telah mendapat pensijilan dari aspek fungsi dan keselamatan, sama ada mengikut standard tempatan mahupun antarabangsa, termasuklah sistem berkaitan seperti sistem mekanikal dan elektrikal,” katanya pada sesi penerangan menteri pada persidangan Dewan Rakyat Rabu. Sesi penerangan itu dibuat susulan insiden kebakaran di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA yang mengorbankan nyawa enam pesakit yang dirawat di ICU berkenaan. Dr Subramaniam berkata kementeriannya hanya akan mengambil alih bangunan untuk dioperasikan apabila ia diperakukan siap sepenuhnya termasuk proses pengujian dan pentauliahan telah disempurnakan serta mendapat Sijil Layak Menduduki. Beliau berkata semasa pengoperasian, penyelenggaraan berkala pula akan dilaksanakan. Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada kakitangan hospital terutama 10 kakitangan ICU HSA yang telah sedaya upaya cuba memindah dan menyelamatkan pesakit, sehingga tiga daripadanya pengsan kerana terhidu kepulan asap tebal. Menjelas lanjut, Dr Subramaniam bagaimanapun berkata keadaan agak sukar ditangani memandangkan pesakit dalam unit itu berada dalam keadaan tidak sedar dan dipasangkan dengan mesin bantuan pernafasan serta pelbagai mesin dan peralatan lain. Beliau berkata api juga marak dengan kepulan asap yang tebal, menyebabkan kebakaran menjadi tidak terkawal dan merebak ke seluruh ICU. "Percubaan dan keberanian mereka bertindak menyelamatkan pesakit-pesakit tersebut walaupun ternyata membawa risiko kepada diri mereka sendiri demi keselamatan pesakit adalah sangat murni dan amat dihargai. Sikap mereka yang sangat bertanggungjawab untuk menjaga pesakit ini amatlah dibanggakan," katanya. - BERNAMA