PETALING JAYA: Seorang wanita berusia 30 tahun yang bertindak merantai kaki anak perempuannya di tiang lampu di Bandar Sunway dekat sini telah disoal siasat dan dilepaskan pada malam Rabu. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata polis dimaklumkan mengenai insiden itu di Apartmen Lagoon Perdana dekat Bandar Sunway kira-kira pukul 6.53 petang Rabu. "Apabila anggota kami tiba di lokasi, sekumpulan orang ramai berkumpul di keliling budak perempuan itu yang dirantai di sebatang tiang," katanya. Kira-kira 10 minit kemudian, ibunya datang dan mengakui merantai anak perempuannya itu. Polis kemudiannya menasihatkan ibu kanak-kanak itu supaya melepaskan budak berusia lapan tahun itu yang dirantai kerana sering tidak mahu pergi ke sekolah. Katanya, ibu dan kanak-kanak perempuan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk disoal siasat. Mohammad Azlin berkata ia adalah kali pertama kanak-kanak itu dirantai dan polis kemudiannya melepaskan mereka.