suria

Gangguan Perkhidmatan Tren Laluan Utara-Selatan Akibat Tren Tergelincir

Insiden kegelinciran tren kargo di KM200.332 antara Kota Bharu-Lahat di Stesen Batu Gajah, dekat Ipoh, awal pagi Jumaat. -fotoBERNAMA
IPOH: Perkhidmatan tren di laluan utara dan selatan mengalami gangguan ekoran insiden kegelinciran tren kargo di KM200.332 antara Kota Bharu-Lahat di Stesen Batu Gajah dekat sini, awal hari Jumaat.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan pada Jumaat berkata kejadian pukul 3.15 pagi itu berlaku ketika tren kargo itu dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menghala ke Tasek di sini untuk mengambil muatan simen.

"Dua lokomotif dan 25 gerabak kosong telah tergelincir dan menghalang kedua-dua landasan.

"Ini menyebabkan semua tren yang melalui laluan ini telah terhalang dan penumpang yang menggunakan beberapa perkhidmatan tren dari Kampar-Ipoh-Kampar akan dipindahkan menggunakan bas.

"Penumpang yang tidak ingin meneruskan perjalanan boleh mendapatkan pemulangan wang di kaunter tiket di stesen-stesen berdekatan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja mengalih gerabak yang tergelincir sedang giat dijalankan.

Maklumat mengenai insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan KTM Berhad memohon maaf di atas segala kesulitan.

Sementara itu, Ketua Zon Satu Balai Bomba dan Penyelamat Perak Mohd Khairul Jamil berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dua orang pemandu tren itu tidak mengalami kecederaan, bagaimanapun, mereka dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

"Terdapat kebakaran kecil pada bahagian enjin gerabak dan anggota bomba hanya dibenar masuk ke lokasi setelah bekalan elektrik di kawasan itu ditutup," katanya.

Tinjauan Bernama di Stesen Keretapi Ipoh mendapati ribuan penumpang yang sepatutnya menggunakan tren Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) bagi perjalanan ke utara dan selatan terkandas susulan kejadian itu.

Penumpang yang ingin ke selatan akan menaiki tren dari Stesen Keretapi Kampar manakala bagi perjalanan ke utara, penumpang diberhentikan di stesen tersebut dan dibawa ke Stesen Keretapi Ipoh dengan bas.

Seorang penumpang, S. Sathia, 30, berkata dia dan isterinya yang ingin pulang ke kampung di Kulim, Kedah, untuk merayakan Deepavali, terkandas sejak pukul 9 pagi tadi.

"Saya beli tiket sejak tiga hari lalu dan sepatutnya hari ini saya menaiki tren pukul 9 pagi tadi dan tiba di Butterworth pada pukul 11.25 pagi.

"Apabila dapat tahu tentang kejadian ini, saya ambil keputusan untuk menaiki bas tetapi tiket bas sudah habis, jadi saya akan tunggu di sini kerana saya dimaklumkan hanya satu landasan sahaja yang boleh digunakan di Batu Gajah," katanya.

S.Thangamani, 60, pula berkata dia akan menaiki tren dari Stesen Keretapi Kampar kerana mahu menyambut Deepavali di rumah keluarganya di Tampin.

"Macam mana sekalipun saya tetap akan pulang ke kampung hari ini untuk jumpa keluarga sebelum bercuti ke New Zealand awal November ini," katanya, yang turut membawa muruku dan biskut untuk dibawa pulang ke kampung.

Sementara itu, tinjauan di Stesen Keretapi Batu Gajah mendapati lebih 10 penumpang yang telah membeli tiket dan rata-rata dijadualkan menaiki ETS pada pukul 11.10 pagi, terpaksa menunggu bas yang disediakan oleh KTM untuk ke Stesen Kampar.

Nurhayati Jamil, 42, berkata pada mulanya dia agak risau kerana sudah membeli tiket sejak sebulan lalu, namun berasa lega setelah pihak KTM memberitahu bahawa mereka menyediakan bas untuk ke Stesen Kampar.

"Pihak KTM juga ada beri pilihan sama ada nak teruskan perjalanan atau refund (kembalikan) duit, tapi akak pilih untuk teruskan perjalanan kerana kalau nak beli tiket bas pun mesti dah habis," katanya.

Artikel Lain