suria

Tiada Institut Pendidikan Guru Akan Ditutup - Kementerian Pendidikan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Tiada Institut Pendidikan Guru (IPG) akan ditutup sebagaimana kekeliruan yang timbul mengenai status institusi itu susulan pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan pada Sabtu, terdapat 27 kampus IPG di seluruh negara dan sembilan daripadanya akan ditukar kepada Kolej Vokasional atau Politeknik selaras dengan perkembangan serta keperluan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"IPG yang terlibat belum dimuktamadkan dan perbincangan sedang dijalankan terutama mengenai keperluan mengikut lokasi," menurut kenyataan itu.

Selain itu, dua daripada 27 IPG akan dijadikan Pusat Permata seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 iaitu IPG Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan dan IPG Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, kementerian yakin 16 IPG di seluruh negara yang tidak ditukar kepada Kolej Vokasional, Politeknik atau Pusat Permata mampu menampung keperluan baharu ambilan latihan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP).

"Mulai 2017, trend pengambilan guru pelatih untuk PISMP akan stabil pada unjuran 1,600 orang," menurut kenyataan itu dan menambah pengambilan diselaraskan dengan jumlah kekosongan kerana persaraan dan permintaan guru baharu bagi mengelak wujudnya lambakan guru.

Mulai 2017 juga, tiada ambilan guru pelatih di IPG yang ditukar kepada Kolej Vokasional, Politeknik atau Pusat Permata, sebaliknya pelatih sedia ada di IPG berkenaan akan kekal sehingga tamat pengajian.

Penyuraian pensyarah di IPG yang ditukar kepada Kolej Vokasional, Politeknik atau Pusat Permata juga dibuat berfasa mengikut penamatan ambilan pelatih.

Pensyarah terlibat boleh memilih untuk kekal di IPG berkenaan atau berpindah ke institusi pendidikan lain tanpa menjejaskan opsyen dan gred jawatan masing-masing.

"Selaras dengan Transformasi Penstrukturan kementerian, pensyarah-pensyarah ini sesuai ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah yang sama atau berdekatan," kata kenyataan itu. - BERNAMA

IPG, Kementerian Pendidikan

Artikel Berikut

Artikel Lain