suria

Jangan Pandang Rendah Kucing Jalanan

Wan Muhaizan (dua dari kiri) bersama peserta lain pada pertandingan kucing anjuran KKM di Medan Mara, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Jangan pandang rendah kucing jalanan, tetapi sayangilah haiwan itu, kata pemenang keseluruhan pertandingan kucing, Wan Muhaizan Wan M. Aris.

Wanita berusia 35 tahun yang mengungguli kategori kucing bulu pendek itu berkata, walaupun kucing jalanan yang biasannya berbulu pendek tetapi ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Harapan saya, jangan memandang rendah kucing jalanan, tetapi sayangi haiwan tersebut. 

"Tidak kira apa jenis kucing, semuanya akan cantik kalau kita pelihara dengan baik," katanya ketika ditemui di Medan Mara pada Sabtu.

Pertandingan anjuran Kelab Kucing Malaysia (KKM) diadakan di ruang legar Medan Mara ini menyaksikan 150 peserta untuk lapan kategori iaitu kucing bulu pendek dan bulu panjang bagi anak kucing, kucing junior, kucing jantan dan kucing betina.

Setiap peserta menampilkan haiwan kesayangan mereka dengan dihiasi kostum pelbagai gaya.

Pemenang mendapat pelbagai hadiah sumbangan penaja termasuk peralatan dan makanan kucing.

Wan Muhaizan (kanan) bersama juri dari Australia, Mare (dua dari kanan), wakil penaja dan Presiden KKM, Khalid Rashid pada majlis penyampaian hadiah pertandingan kucing di Medan Mara, Sabtu.

Kata wanita yang kini berkecimpung dalam bidang pembiakan kucing itu, menerusi pertandingan seumpama ini diharap orang ramai sedar bahawa kucing jalanan juga ada tarikan.

"Sebenarnya kucing saya, Steve adalah kucing jalanan dan saya sering membawanya untuk menyertai pertandingan sejak tujuh tahun sehingga mendapat pengiktirafan sebagai kucing terbaik," katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Mohd Nazmin Mat Tahir berkata, sejak tiga hari lalu beliau melakukan persediaan untuk memasuki pertandingan itu.

"Persiapan untuk pertandingan atau pertunjukan biasannya daripada segi kebersihan termasuk memandikan kucing.

"Sebanyak tiga syampu digunakan, pertama untuk buang minyak pada badan, selepas itu syampu normal dan akhir sekali syampu untuk menaikkan seri bulu kucing," jelasnya.

Bagi penggemar kucing, acara anjuran KKM ini akan diteruskan pada Ahad di ruang legar Medan Mara dari 10 pagi hingga 7 petang.

Kelab Kucing Malaysia, Steve

Artikel Sebelum

Artikel Lain